Panel Kabin Pesawat AirAsia Tercabut Selepas Mendarat, Penumpang Terkejut

Penumpang dalam sebuah penerbangan AirAsia terkejut apabila sebahagian panel kabin bahagian atas tiba-tiba tercabut sejurus selepas pesawat mendarat.
Penerbangan AK720 itu berlepas dari Singapura dan tiba di Kuala Lumpur sekitar jam 10:22 malam pada 4 April lalu.
Namun, tiada kecederaan dilaporkan melibatkan penumpang mahupun kru.
Menerusi gambar yang dikongsikan oleh seorang penumpang yang dikenali sebagai Chen kepada Shin Min Daily News, bahagian panel yang besar itu dilihat tergantung dengan beberapa wayar dan terjatuh ke arah sandaran kepala tempat duduk.
Menurut Chen, beberapa bahagiannya turut jatuh ke atas tempat duduk. Begitupun, tiada penumpang yang duduk di barisan tersebut, maka tiada sesiapa yang cedera.
Chen berkata pesawat mendarat seperti biasa, namun bunyi pelik kedengaran sejurus selepas itu.
Apabila dia melihat ke hadapan, dia mendapati sebahagian panel kabin atas telah tercabut.
“Adalah normal untuk tayar bergetar apabila mencecah landasan, dan kali ini tidak terlalu kuat.
“Saya tidak sangka panel itu boleh tertanggal begitu. Bunyi ketika pesawat mendarat agak kuat, jadi bunyi panel jatuh itu tidak begitu ketara,” katanya.
Pesawat kemudian berhenti seperti biasa dan semua penumpang turun tanpa sebarang insiden.
Walaupun ramai penumpang terkejut, ada juga yang ketawa kerana tidak percaya dengan kejadian tersebut.
“Beberapa penumpang asing di hadapan saya ketawa. Mungkin mereka tertanya-tanya bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku,” kata Chen.
Walaupun tiada kecederaan, insiden ini tetap menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan penerbangan dan kepentingan pemeriksaan berkala, terutama jika terdapat kanak-kanak di kawasan tersebut.
Menjawab pertanyaan media, Pengurus Besar AirAsia Malaysia, Fareh Mazputra berkata, satu bahagian hos daripada panel kabin longgar dan tercabut ketika pesawat sedang melakukan pendaratan.
Menurut Fareh, sebelum berlepas dari Singapura, pesawat telah menjalani semua pemeriksaan penyelenggaraan yang diperlukan, termasuk pemeriksaan rutin setiap 36 jam yang melibatkan penilaian visual dan fizikal.
Selepas kejadian, pasukan kejuruteraan AirAsia telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan panel kabin selamat dan dipasang dengan sempurna.
“Kru kabin kami bertindak pantas mengikut prosedur keselamatan sebaik sahaja insiden dilaporkan, memastikan penumpang di kawasan terlibat diberikan perhatian segera dan dipindahkan ke tempat duduk lain dengan selesa,” tambahnya.
Syarikat penerbangan itu turut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku dan mengucapkan terima kasih kepada penumpang atas pemahaman mereka.



