Anggota kumpulan KRU, Datuk Norman Abdul Halim mengesahkan Konsert GenKRU yang dijadualkan berlangsung di Pulau Pinang pada akhir bulan ini tidak akan diteruskan.
Menurut Norman, keputusan pembatalan konsert dilakukan bagimenjaga kualiti serta impak Konsert GenKRU yang berlangsung selama empat hari berturut-turut di Bukit Jalil Kuala Lumpur pada Mei lalu.
“Keputusan itu bukanlah kerana enggan melayan peminat di utara atau lokasi lain, tetapi lebih kepada kebimbangan tidak mengulangi format persembahan sama secara berterusan.
“Konsert GenKRU sudah menjadi penanda aras yang sangat tinggi, sekali gus kami tidak mahu menurunkan tahap yang kami cipta sendiri (downgrade).
“Kami tidak mahu kecewakan peminat apabila mereka hadir ke lokasi yang kami terpaksa ‘downgrade’,” katanya seperti dilaporkan Kosmo Online.
Tambah Norman, dia dan Yusry serta Edry risau jika konsert berskala konsert bakal menimbulkan perbandingan dalam kalangan peminat.
“Di Axiata Arena sebelum ini menggunakan teknologi canggih seperti pentas hidraulik serta banyak lagi sokongan lain bagi merealisasikan sebuah persembahan mega yang tidak dapat dilupakan penonton.
“Kami tak nak peminat kata, ‘Alah, kat KL (Kuala Lumpur) lagi best lah’. Kami tidak mahu wujud perasaan seperti itu. Kami sendiri sudah rasakan perkara sama ketika tampil di Singapura,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Norman memaklumkan sudah membuat pengumuman secara tidak rasmi di media sosial bulan lalu.
Konsert GenKRU yang dipentaskan empat malam di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Mei lalu diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sekali gus melakar sejarah buat trio berkenaan.