Ning Baizura Dedah Anak Jadi Mangsa Buli Di Sekolah

Rentetan isu buli yang semakin menjadi kepincangan, penyanyi, Ning Baizura mendedahkan anak lelakinya, Ryan Sky Dalton yang kini berusia 12 tahun, turut tidak terlepas daripada menjadi mangsa buli di sekolah.

Menurut Ning, kejadian itu bukan sahaja meninggalkan kesan pada anak tunggalnya, malah turut membuatkan dia sebagai ibu berasa sedih dan kecewa.

“Anak saya pernah dibuli oleh rakan sebayanya di sekolah. Mereka ejek bentuk fizikal Sky, siap cakap dahi dia jendul.

“Bukan itu saja, mereka juga ada buat cemuhan terhadap keluarga kami,” katanya yang ditemui pada sidang media Kilauan Emas 2025 baru-baru ini.

Tambah Ning, kejadian buli yang berlaku bukan sahaja secara fizikal, tetapi juga melalui alam maya.

Tidak membiarkan perkara itu berpanjangan, Ning segera bertindak berhubung dan bertemu sendiri dengan keluarga pelajar terbabit.

Kata pelantun Awan Yang Terpilu itu, dia turut menyimpan bukti perbualan menerusi tangkap layar untuk ditunjukkan kepada keluarga pembuli.

“Saya tak berdiam diri. Saya terus berkomunikasi dengan keluarga pelajar berkenaan.

“Dalam hal macam ini, kematangan dan cara berbincang dengan baik itu sangat penting.

“Syukurlah, isu tersebut berjaya diselesaikan secara baik dan pantas.

“Sky kini tidak lagi dibuli dan masih berkawan dengan pelajar yang sama, walaupun tidak serapat dahulu,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Ning mendirikan rumah tangga dengan lelaki Inggeris pilihan hatinya, Omar Shariff Christopher Layton Dalton pada tahun 2008 dan dikurniakan seorang cahaya mata.

Related post

Leave a Reply