Pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad, 42, tampil memberi penjelasan susulan penularan sebuah video memaparkan anak sulungnya, Nayla Mikayla bersama seorang remaja lelaki yang dipercayai teman istimewanya.
Menurut Nabil, dia sendiri belum menonton video berkenaan dan berpandangan bahawa anak perempuannya yang baru berusia 13 tahun itu masih terlalu muda untuk menjalinkan sebarang hubungan cinta.
“Saya hanya dengar daripada orang lain mengenai video itu, tetapi saya sendiri belum menontonnya. Saya terkejut bila ada yang ucap tahniah, konon saya dapat menantu.
“Bila saya tanya Zira (isteri), dia pun tak tahu apa-apa. Rupanya mereka merujuk kepada video itu
“Zira ada beritahu Mika memang ada berkawan dengan seseorang, namun pada saya, usianya masih terlalu awal untuk bercinta.
“Kalau ada pun, mungkin sekadar cinta monyet,” katanya yang ditemui dalam satu sidang media, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Nabil akui tidak mudah membesarkan anak remaja pada zaman serba moden ini. Justeru, dia dan isteri telah menetapkan beberapa peraturan bagi mengawal penggunaan peranti elektronik.
“Mika hanya dibenarkan menggunakan telefon bimbit pada hujung minggu, iaitu hari Sabtu dan Ahad. Dari Isnin hingga Jumaat, telefon tidak dibenarkan.
“Tujuannya supaya dia tidak terlalu ketinggalan, tetapi sekarang saya lihat penggunaannya sudah jadi berlebihan pula. Selama ini saya tak pantau telefonnya sebab Zira yang pegang.
“Sekarang saya mula sedar, ini sebenarnya dilema ramai bapa zaman sekarang, kalau ditegur, anak merajuk, kalau dibiarkan, risau pula apa yang akan jadi,” jelasnya lagi.
Walaupun terbuka terhadap pergaulan anak-anaknya, Nabil menegaskan semua itu tetap perlu berada di bawah pengawasan ibu bapa.
“Kalau setakat berkawan di sekolah, saya tak kisah sangat. Tapi budak-budak zaman sekarang saya risau juga, terutama kalau tak balik rumah.
“Saya kenal kawan-kawan Mika, tapi saya tak benarkan dia tidur di rumah kawan. Kalau kawan dia nak tidur di rumah kami, itu tak jadi masalah,” katanya lagi.
Terdahulu, video mesra Mika bersama seorang remaja lelaki dikenali sebagai Aiman tular di TikTok sebelum dipadam daripada akaun berkenaan.
Untuk rekod, Nabil mendirikan rumah tangga bersama Nazirah Ayub (Zira) pada 30 September 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nayla Mikayla, Layla Medyna, 10, dan Mishall Imani, 6.