MCMC Siasat Video ‘Prank’ Gelandangan, Influencer Tempatan Berdepan Denda Sehingga RM500,000

Baru-baru ini, kecoh di laman sosial mengenai tiga influencer tempatan yang mencetuskan kemarahan netizen selepas memuat naik video yang menunjukkan mereka berpura-pura memberi makanan kepada seorang gelandangan, yang akhirnya didedahkan sebagai satu jenaka kejam.

Kontroversi tersebut menarik perhatian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang melancarkan siasatan terhadap insiden berkenaan.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi SKMM pada Selasa, SKMM memaklumkan mereka telah menerima pelbagai aduan berhubung klip video berkenaan.

Meskipun klip video berkenaan telah dipadam, namun, siasatan tetap dijalankan.

SKMM menegaskan bahawa pihaknya memandang serius terhadap penerbitan dan penyebaran kandungan yang mengeksploitasi golongan rentan demi hiburan, tontonan dan mencetuskan ketidakharmonian awam.

“Penyebaran kandungan yang memperlekeh atau menghina maruah seseorang bukan sahaja tidak beretika, malah ia menggalakkan pembudayaan nilai tidak berperikemanusiaan dalam masyarakat,” tulis kenyataan itu.

SKMM turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan atau berkongsi kandungan provokatif yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Klip tersebut kini sedang disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000, atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Kontroversi itu tercetus apabila sekumpulan influencer merakam diri mereka menikmati ayam goreng sebelum memberikan sisa tulang ayam kepada seorang gelandangan atas nama ‘kebaikan hati’.

Ketika kemarahan orang ramai memuncak, salah seorang influencer tampil memberi penjelasan, mendakwa bahawa lelaki gelandangan tersebut telah bersetuju untuk “diprank”, dan turut mendakwa bahawa dua ketul ayam goreng sebenar telah diberikan kepadanya.

Related post

Leave a Reply