Pelakon dan penyanyi, Harris Alif, 27, mendedahkan keputusan menyertai satu kejohanan tinju adalah untuk membela maruah keluarga selepas menjadi mangsa penghinaan oleh seorang rakan artis.
Pemilik nama lengkap Nor Harris Alif Nor Rashidi, bagaimanapun enggan mendedahkan identiti pelakon tersebut, namun menyatakan individu terbabit turut serta dalam kejohanan sama.
“Sebenarnya ada orang yang mencabar saya, tapi dia lakukannya secara siaran langsung. Kata-katanya sangat sensitif kerana membabitkan isteri saya, Intan Ladyana, serta ibu saya. Bila saya nampak nama dia tersenarai dalam pertandingan All Stars Championship ini, saya terus setuju untuk masuk,” ujarnya.
Harris turut mendedahkan konflik antara mereka tercetus sewaktu sama-sama menjalani penggambaran di Sarawak sekitar Ogos tahun lalu.
Menurut Harris, pelakon terbabit yang sudah dikenalinya sejak kecil tidak boleh menerima teguran.
“Saya tegur sebab dia berubah sangat. Kelakuan dia biadab. Tapi bila ditegur, dia mengamuk tanpa sebab. Dari situlah timbul konflik.
“Kami dah selesaikan secara baik. Dia minta maaf, siap menangis pun ada. Tapi baru-baru ini, dia kembali mengguris hati saya melalui media sosial. Itu yang membuatkan saya hilang sabar dan bangkit kembali,” katanya lagi.
Walaupun tidak menyatakan nama pelakon berkenaan secara terbuka, Harris menegaskan dia tidak akan sesekali berdiam diri jika keluarganya terus dijadikan bahan cercaan.
“Sebagai lelaki, saya ada maruah. Bila orang sentuh soal keluarga, saya takkan duduk diam. Ini bukan soal gaduh suka-suka, tapi saya nak tunjuk kita boleh selesaikan secara anak jantan di gelanggang,” tuturnya lagi.