
Mak Cik Kemboja Pilih Berdiam Diri Isu Rumah Tangga, Sahkan Fail Perceraian
Usahawan sensasi, Mariyah Yaakob atau lebih dikenali sebagai Mak Cik Kemboja, mengambil pendekatan untuk tidak mengulas lanjut mengenai status rumah tangganya yang kini sedang melalui proses mahkamah.
Menurut Mariyah, kes perceraiannya masih dalam peringkat perbicaraan dan belum dapat dipastikan status muktamadnya.
“Buat masa ini saya tidak boleh ulas panjang mengenai perceraian saya. Status masih belum jelas kerana perlu menunggu proses seterusnya di mahkamah.
Namun, perceraian sudah difailkan,” katanya ketika ditemui media pada majlis pelancaran jenama AURAMARIA baru-baru ini.
Dalam masa sama, Mariyah juga enggan memberikan sebarang komen berhubung dakwaan wujudnya orang ketiga dalam rumah tangganya.
“Isu ‘penyondol’ ini saya tidak mahu bercakap banyak. Bagi saya, perkara ini sangat sensitif, jadi saya memilih untuk tidak ulas lanjut.
Setiap kali saya diuji, saya akan bangkit semula. Doa ibu yang sentiasa bersama saya membuatkan saya terus kuat. Kejayaan dan kekuatan yang saya miliki hari ini adalah berkat doa ibu,” tambahnya lagi.
Terdahulu, Mariyah pernah mencuri perhatian ramai apabila diceraikan suaminya ketika sedang melakukan penstriman langsung di aplikasi TikTok.
Difahamkan, ketika itu beliau dalam perjalanan menuju ke Mahkamah Syariah Johor Bahru untuk memfailkan penceraian selepas mendakwa dirinya dianiaya dan digantung tanpa nafkah.
Lebih mengejutkan, sewaktu sesi live tersebut, suaminya meninggalkan komen berbunyi:
“Dengan lafaz Bismillah, Mariyah Bt Yaakob aku ceraikan kau.”
Sumber: Gempak