Liza Hanim Terdiam Baca Komen Sinis Berbunyi ‘Zaman Awak Sudah Berlalu’
Penyanyi, Liza Hanim, 46, mendedahkan hatinya benar-benar terusik ketika membaca satu komen sinis yang ditinggalkan seorang individu di media sosial, baru-baru ini.
Meskipun jarang melayan kritikan melampau, Liza mengakui komen tersebut yang menyifatkannya sudah “habis zaman’ menjadi antara yang paling memberi kesan sepanjang 25 tahun kerjayanya.
Menurut Liza, dia tidak menyangka dirinya masih menerima kata-kata yang memperlekehkan perjalanan seninya.
“Bila terbaca komen yang kata masa saya dah berakhir dan saya patut mengalah, saya terdiam.
“Tiba-tiba rasa macam segala usaha, penat lelah dan kecintaan saya terhadap muzik dipertikaikan. Itu yang buat saya mengalirkan air mata,” katanya.
Liza menegaskan budaya merendah-rendahkan artis, terutama berkaitan umur dan kelangsungan kerjaya, tidak wajar dijadikan norma dalam industri hiburan.
“Kalau tak minat, tak perlu dengar lagu saya. Tak perlulah menyebar kata-kata yang boleh mencederakan emosi orang lain.
“Setiap kali saya keluarkan lagu baharu, pasti muncul komen toksik seperti itu. Namun saya bersyukur masih ada peminat yang setia mahu melihat saya di pentas,” ujarnya lagi.
Meskipun sempat tersentak, sokongan rakan-rakan artis seperti Misha Omar kembali menyuntik kekuatan dalam dirinya.
Kata Liza, dia mula sedar ramai dalam industri pernah melalui perkara yang sama.
“Saya pilih untuk menghargai mereka yang menghargai saya. Ramai mesej menasihati supaya jangan terkesan. Rupa-rupanya ramai juga pernah ikut makan hati dengan komen negatif,” katanya.
Sebelum ini, Liza berkongsi tangkap layar komen netizen yang menulis: “Sudahlah, zaman awak sudah berlalu. Mengalah sajalah.”
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi, majoritinya memintanya untuk terus kuat dan tidak tunduk pada suara-suara yang cuba meruntuhkan semangatnya.
Bagi Liza, selagi dikurniakan suara dan kreativiti, selagi itulah dia akan terus berada dalam dunia seni yang membesarkan namanya.
