
Lelaki Ini Tinggalkan Kerja Bergaji RM15,000 Demi Kesihatan Mental
Bagi sesetengah orang, ketenangan jiwa lebih bernilai daripada gaji lima angka. Hal yang sama diakui oleh seorang lelaki menerusi perkongsiannya di Threads baru-baru ini.
Menerusi perkongsian tersebut, dia memutuskan untuk meninggalkan kerja bergaji RM15,000 dan kerjaya korporatnya demi melindungi kesihatan mental.
Ternyata, dia menemui kebahagiaan dalam kehidupan yang lebih sederhana.
Lelaki itu mendedahkan, gaji terakhirnya dalam sektor perladangan berjumlah hampir RM15,000 termasuk komisen.
Namun, walaupun dengan pendapatan yang tinggi, dia nekad untuk berhenti selepas disahkan menghidap gangguan kemurungan major (Major Depressive Disorder, MDD) dan mengalami serangan panik.
Selepas meninggalkan kerjaya tersebut, dia beralih kepada pekerjaan jenis freelance, terutamanya sebagai rider penghantaran. Walaupun mengakui pendapatannya kini tidak menentu, dia berkata hidupnya jauh lebih bahagia berbanding dahulu.
“Saya boleh jumpa kawan-kawan, luangkan masa dengan keluarga, dan main game bila-bila saya nak.
“Tak perlu lagi jawab mesej bos pukul 3 pagi atau pura-pura senyum masa mesyuarat 8 pagi dengan klien cerewet,” tulisnya.
Walaupun kehidupannya sekarang tidak sempurna, dia menggambarkannya sebagai lebih ‘ringan’ dan bermakna.
“Saya rasa saya akan okay. Saya berhenti ambil ubat kira-kira sebulan lepas, dan untuk pertama kalinya selepas sekian lama, saya rasa benar-benar bebas,” tambahnya lagi.