Lalui Hidup Sukar Lepas Bersara, Bekas Anggota F.T Island, Song Seung Hyun Kini Buka Restoran Gukbap Di New York

Lalui Hidup Sukar Lepas Bersara, Bekas Anggota F.T Island, Song Seung Hyun Kini Buka Restoran Gukbap Di New York

Bekas anggota kumpulan F.T Island, Song Seung Hyun mendedahkan fasa baharu dalam hidupnya selepas secara rasmi bersara daripada industri hiburan.

Baru-baru ini, Seung Hyun memuat naik satu hantaran panjang di akaun peribadinya, mengenang cabaran yang dilalui selepas berpindah ke New York tahun lalu.

“Sudah setahun sejak saya menamatkan fasa 15 tahun dalam industri hiburan Korea dan datang ke New York.

“Bahkan perkara yang saya sangka sudah bersedia pun rupa-rupanya menjadi cabaran baharu yang besar,” katanya.

Seung Hyun mendedahkan, dia memulakan hidup baharu di sana dengan bekerja di restoran soon-tofu milik bapanya sebagai tukang angkut pinggan sebelum menjadi pelayan.

“Saya sangka saya sudah cukup merendah diri sebagai seorang selebriti, tetapi sebenarnya saya masih angkuh.

“Ada masa saya menyesal kerana membuat keputusan berpindah negara dengan begitu mudah. Tetapi saya terus kuatkan diri setiap hari dengan berkata, ‘hari ini saya berjaya juga,’” katanya lagi.

Selain itu, dia turut berkongsi yang dia kini dia sedang bersedia untuk mengambil alih sebuah restoran Korea bernama Jinsang Gukbap dengan menggunakan wang simpanannya.

“Saya mungkin tidak lagi merasai dopamin yang sama seperti ketika mendapat bayaran besar hanya dalam beberapa jam di atas pentas, tetapi saya mula menyukai apa yang saya lakukan sekarang dan saya bahagia.

“Saya mahu menjadi seorang pemilik restoran gukbap yang rendah hati,” kongsinya.

Selain itu, Seung Hyun turut tidak melepaskan peluang mengucapkan terima kasih kepada isterinya yang sentiasa menyokong dirinya sepanjang tempoh penghijrahannya itu.

Song Seung Hyun menyertai F.T Island sebagai gitaris pada tahun 2009 sebelum meninggalkan kumpulan itu pada 2019 untuk menceburi bidang lakonan.

Dia secara rasmi bersara daripada industri hiburan pada Februari 2023 dan berkahwin pada Jun tahun sama.

Related post

Leave a Reply