Baru-baru ini, viral di media sosial mengenai sebuah video seorang pencipta kandungan yang dilihat melakukan ‘prank’ terhadap seorang gelandangan.
Menerusi video berkenaan, pencipta kandungan berkenaan bersama dua lagi teman menikmati ayam goreng di sebuah restoran makanan segera.
Namun, selesai makan, tulang ayam berkenaan dimasukkan dalam sekepal nasi. Nasi berkenaan kemudian diberi kepada seorang gelandangan.
Video tersebut mencetuskan reaksi negatif dalam kalangan netizen sehingga pencipta kandungan berkenaan memadamkan hantaran tersebut dan memuat naik sepotong video permohonan maaf.
Terbaharu, gelandangan tersebut memberi kenyataan dan memaafkan perbuatan tiga individu berkenaan.
Dikenali sebagai Ram, dia mengakui terkejut apabila membuka bungkusan nasi dan mendapati terdapat sisa tulang di dalamnya.
“Saya tidak pasti apa tujuan mereka berbuat demikian. Saya hanya tahu kewujudan video itu selepas ia tular dan dimaklumkan oleh beberapa pengunjung di kawasan ini, mereka beritahu mereka jaga kecewa dengan kejadian tersebut.
“Saya tidak tahu apa kesilapan saya sehingga dilayan seperti itu, tetapi saya hanya fikir positif dengan menganggap mereka masih budak-budak kecil. Jadi saya maafkan mereka tetapi harap ia tidak berulang,” katanya.
Tambah Ram, dia berhijrah ke ibu kota dari Perak, namun sudah lama menjadi gelandangan setelah tidak lagi bekerja.
“Saya diberitahu pihak berkuasa telah ambil tindakan terhadap tiga remaja berkenaan, biarlah itu pihak berkuasa uruskan, saya tiada kaitan dengan perkara tersebut.
“Bagaimanapun setelah kejadian tular, ada beberapa pihak datang menyapa dan bertanya khabar selain turut menyumbangkan makanan, jadi saya sangat hargai perbuatan mereka,” jelasnya seperti dilaporkan Kosmo! Online.