Kerjasama APM, FINAS Hidupkan Semula Briged Seni Kreatif

MENYASARKAN untuk kembali mengaktifkan fungsi Briged Seni Kreatif di bawah Angkatan Pertahanan Awam (APM) merupakan intipati penting yang disuarakan oleh orang nombor satu agensi berkenaan baru-baru ini.

Menurut Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed, pihaknya akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi mengaktifkan semula Briged Seni Kreatif .

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan FINAS untuk menghidupkan semula fungsi seterusnya memperkasakan Briged Seni Kreatif ini. Pelbagai cadangan akan diperhalusi oleh kedua-dua pihak demi memastikan hasrat tersebut segera terlaksana.

“Jika agensi lain sudah mempunyai Briged Seni Kreatif sendiri, kami juga ada sebelum ini. Cuma ia diwujudkan secara ad-hoc dan tidak konsisten seperti agensi lain. Dengan adanya kerjasama ini, kami harap ia akan dapat dijayakan seperti mana dihasratkan oleh ramai pihak,” katanya.

Datuk Aminurrahim berkata demikian setelah ditemui sempena majlis pentauliahan pangkat dan penyerahan watikah kepada 10 Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri, FINAS yang berlangsung pada Jumaat.

Dalam majlis tersebut beberapa watikah diserahkan termasuklah kepada Ahli Perbadanan FINAS, Zed Zaidi yang ditauliahkan Kolenal Kehormat (PA) selain pelakon Esma Daniel yang turut ditauliahkan Kapten Bersekutu (PA).

Aminurrahim (tiga dari kiri) bersama Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS bergambar selepas majlis penyerah tauliah.

Tambah Datuk Aminurrahim lagi, pihaknya optimis untuk bekerjasama dengan FINAS memandangkan agensi berkenaan berdaya saing dan mempunyai kekuatan untuk menarik lebih ramai pemain industri untuk bersama-sama dengan APM membangunkan negara.

“Kita yakin kerjasama baik dengan FINAS akan membuahkan hasil dan kembali mengaktifkan Briged Kesenian APM seterusnya berfungsi untuk menyebarkan maklumat penting kepada masyarakat.

“Anak seni bukan sahaja menjadi penghibur tetapi fungsi mereka sebenarnya lebih luas. Mereka mampu menyampaikan agenda penting, tentang dasar pertahanan awam di Malaysia dah sebagainya,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Datuk Aminurrahim turut berharap dengan penglibatan lebih ramai pemain industri menyertai APM akan menambahkan lagi kesiapsiagaan semua dalam menghadapi apa sahaja rintangan mendatang.

Menariknya, pihak APM dan FINAS juga bersetuju untuk memberi penambahbaikan kepada Briged Seni Kreatif seperti mana yang menjadi hasrat kebanyakan pihak.

Jelasnya, cadangan tersebut cukup baik dan pihaknya akan membawa perkara tersebut kepada pihak Kementerian untuk diperhalusi lebih lanjut.

“Kami memahami industri kreatif lebih besar makna dan fungsinya. Jadi kita bersetuju untuk membawa perkara ini ke peringkat Kementerian bagi menyemakkan lagi fungsi Briged Seni Kreatif ,” tambahnya.

Related post

Leave a Reply