“Kerja Gila” Berbaloi, Hot FM Cipta Asean Record Bersiaran Di Dasar Laut
Hot FM menerusi Bekfes Hot yang terdiri daripada Khairi Jamaluddin, Johan, Fara Fauzana dan AG melakar sejarah baharu apabila bersiaran di dasar laut yang turut mencatatkan rekod baharu untuk Asean.
Kejayaan ini adalah susulan daripada kempen “Bekpes Hot Tawan Puncak Kinabalu” tahun lalu yang berjaya mencatat rekod Malaysia Book of Records sebagai Siaran Radio Tanpa Henti Terpanjang di Gunung Kinabalu.
Stesen radio ini sekali lagi melakar sejarah dalam industri penyiaran radio apabila menganjurkan kempen Bekpes Hot Skuba dan secara rasmi diiktiraf oleh Asean Records sebagai First and Deepest Outdoor Underwater Live Radio Broadcast in Open Sea by Radio Personalities (10 meters depth for 90 minutes)
Menurut Pengarah Kandungan Kanan Hot FM, Raja Khairil Idris Raja Aznan berkata, cabaran kali ini begitu ekstrim dan meninggalkan kenangan manis buat semua pihak yang terlibat.
“Selepas menawan puncak tertinggi di Malaysia, kami mahu mencabar kebiasaan dan kali ini menawan ‘dunia sunyi’ di bawah laut.
“Cabaran ini membuktikan semangat juang, keberanian, dan inovasi yang menjadi DNA Hot FM. Inilah cara kami kekal relevan dan terus dekat di hati peminat,” katanya.
Misi ekstrem ini bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan mental, malah memerlukan persiapan teknikal rapi bagi memastikan siaran berjalan lancar walaupun berada di bawah permukaan air.
Mereka melakukan misi tersebut bermula pukul 10 pagi pada Jumaat dari Stesen Penyelidikan Alami Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Pulau Bidong.
Misi kali ini juga adalah dengan kerjasama UMT Diving School dan disokong oleh Unit Tindak Khas (UTK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan misi menyelam, sebelum mencatat kejayaan bersejarah itu pukul 12.30 tengah hari.
Sijil pengiktirafan Asean Record telah disampaikan oleh Pengarah Eksekutif Asean Records, Eldrick Koh, kepada pasukan Bekpes Hot bersama, Pengarah Rangkaian Kumpulan, Media Prima Audio, Shah Hayatudin, sebagai simbol kejayaan membanggakan ini.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Hasrizal Shaari, Pengarah Program UMT, menegaskan bahawa kerjasama ini membuktikan keyakinan industri media terhadap kepakaran UMT dalam bidang kelautan dan sumber marin, khususnya aktiviti selam skuba.
Beliau turut menambah bahawa inisiatif ini memperkukuh potensi Pulau Bidong di peringkat nasional dan mencipta pengalaman penyiaran bawah air yang unik serta bersejarah.
Kempen ini turut mencatat sejarah di 10 negara Asia apabila buat pertama kalinya siaran radio langsung dari dasar laut menjadi kenyataan.
Lebih membanggakan, Hot FM turut menurunkan monumen berbentuk mikrofon dan studio mini bawah laut sebagai simbol kejayaan yang secara tidak langsung menyumbang kepada pemeliharaan ekosistem marin.
Pencapaian ini membuktikan keupayaan stesen ini menggabungkan hiburan, keberanian dan teknologi penyiaran dengan pendekatan yang belum pernah dicuba di rantau ini, sekali gus mengukuhkan jenama Hot FM sebagai peneraju industri penyiaran radio yang sentiasa mencabar sempadan baharu.
