Jika anda merupakan ibu atau bapa yang bimbang anak anda di bawah umur 13 tahun menggunakan media sosial, mungkin ‘bantuan’ sedang dipertimbangan. Kerajaan kini sedang meneliti cadangan untuk melarang terus kanak-kanak bawah 13 tahun daripada mempunyai akaun media sosial.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mendedahkan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan langkah untuk melarang kanak-kanak bawah 13 tahun daripada memiliki akaun media sosial.
Cadangan ini bertujuan menangani isu keselamatan dalam talian dan mengurangkan pendedahan kepada kandungan berbahaya.
Memetik laporan Kosmo!, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, langkah tersebut sedang dikaji berikutan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap akses kanak-kanak kecil kepada platform seperti TikTok.
“Kalau kita tanya mana-mana kumpulan pelajar bawah 13 tahun sama ada mereka ada akaun TikTok, ramai akan kata ya.
“Tapi ini sebenarnya satu pelanggaran, dan TikTok sendiri telah mengakuinya,” katanya di parlimen.

Ketika ini, kebanyakan platform media sosial secara teknikal melarang pengguna di bawah umur 13 tahun, namun penguatkuasaan hampir tidak wujud. Kenyataan Fahmi memberi bayangan kemungkinan penguatkuasaan yang lebih ketat atau perubahan dasar untuk menutup kelonggaran ini.
Bagi mereka yang berumur 13 tahun ke atas, kementerian merancang untuk memperkenalkan modul literasi digital bagi membantu mereka memahami maklumat dan maklumat palsu yang membanjiri ruang dalam talian.
Fahmi menegaskan bahawa isu ini bukan hanya berkisar pada soal akses, tetapi juga pendidikan dan kesedaran, terutamanya apabila remaja semakin aktif sebagai warganet digital.