Kepulangan 23 Sukarelawan Global Sumud Flotilla Disambut Ribuan Rakyat Malaysia

Kepulangan 23 Sukarelawan Global Sumud Flotilla Disambut Ribuan Rakyat Malaysia

Selepas beberapa jam menanti dengan penuh debaran, suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 bertukar meriah apabila 23 sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) muncul sekitar jam 10 malam Selasa.

Kelihatan selebriti Zizi Kirana, Ardell Aryana, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi yang tersenyum melihat kepulangan mereka disambut oleh orang ramai.

Turut tiba bersama mereka ialah 19 aktivis kemanusiaan GSF lain termasuk PU Rahmat, Farah Lee, Haroqs serta Zainal Rashid Ahmad.

Beberapa aktivis lelaki sempat melakuakn sujud syukur sebagai tanda bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan mereka.

Kira-kira lebih 2,000 orang awam membanjiri kawasan ketibaan domestik sejak seawal jam 7 malam untuk menyambut kepulangan para aktivis berkenaan.

Sepanjang penantian, laungan “Free Palestine” bergema di seluruh ruang legar KLIA, disusuli alunan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW yang dilaungkan penuh semangat oleh para penyokong dan ahli keluarga.

Turut kelihatan suami kepada Zizi iaitu Yusuf Bahrin, suami Ardell iaitu Nadzmi Adhwa dan suami Heliza Helmi iaitu Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman.

Untuk rekod, Sabtu lalu kesemua 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan oleh rejim Zionis ketika menyertai misi kemanusiaan GSF ke Gaza telah dibebaskan.

Mereka kemudiannya diterbangkan ke Lapangan Terbang Ramon di Israel sebelum berlepas ke Istanbul, Turkiye, dan akhirnya pulang ke tanah air malam Selasa.

Related post

Leave a Reply