‘Kalau Jadi Apa-Apa Pada Saya, Tolong Jaga Ibu & Adik’ – Zizi Kirana

‘Kalau Jadi Apa-Apa Pada Saya, Tolong Jaga Ibu & Adik’ – Zizi Kirana

Penyanyi Zizi Kirana, 40, menitipkan pesanan penuh emosi kepada adiknya, Nurul Nazielah, agar menjaga keluarga sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini sepanjang dirinya menyertai konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

Pemilik nama sebenar Nur Fazelah Mad Tahil berkata, adik perempuannya itu telah diberi amanah untuk mengambil alih tanggungjawab sebagai kakak sulung sekiranya sesuatu terjadi.

“Kalau apa-apa berlaku pada saya, dialah yang akan gantikan tempat saya. Saya tahu awak wanita kuat walaupun kadang-kadang emosi.

“Jaga diri baik-baik, tolong jaga ibu dan adik-adik kita dengan penuh kasih sayang. Semoga Allah melindungi kamu semua. Sayang kamu, Kakak Ela,” tulisnya di Instagram Story.

Ketika ini, isteri kepada pelakon Yusuf Bahrin itu bersama sukarelawan dari 45 negara telah pun memasuki zon kuning, kira-kira 300 batu nautika dari Semenanjung Gaza.

Konvoi yang bermula awal September lalu melibatkan 54 kapal layar dan bot, berdepan cabaran apabila menghampiri zon kuning yang dikawal ketat termasuk dengan pemantauan dron dipercayai milik tentera Israel.

Menerusi perkongsian lain, Zizi memaklumkan semua sukarelawan kini dalam proses memunggah barangan bantuan sebelum meneruskan perjalanan ke zon merah yang lebih berisiko.

Dalam masa sama, Zizi turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan yang diberikan terhadap misi kemanusiaan itu.

Selain Zizi, delegasi Malaysia yang berlepas pada 31 Ogos lalu terdiri daripada 34 sukarelawan termasuk penyanyi Ardell Aryana, Heliza Helmi, Hazwani Helmi serta pempengaruh Farah Lee.

Terkini, seorang sukarelawan dari Turkiye memaklumkan sebuah kapal Israel dikesan sekitar 50 batu nautika dari flotila mereka malam tadi, sekali gus memaksa semua ahli konvoi meningkatkan tahap berjaga-jaga.

Related post

Leave a Reply