Kael Sedang Mendalami Ajaran Islam
Penyanyi dan pelakon, Kael mendedahkan dirinya kini sedang mempelajari ajaran Islam sebagai langkah awal sebelum mengambil keputusan untuk memeluk agama itu.
Menurut pemilik nama sebenar Michael Lean Chien Er Er, usaha tersebut dilakukan bukan hanya kerana ingin berkahwin dengan kekasihnya, Engku Sulwani, sebaliknya kerana mahu memahami agama Islam lebih mendalam.
“Saya dan Engku Sulwani sudah berkenalan selama setahun. Hubungan kami baik, cuma ada perbezaan dari segi agama, bangsa dan cara hidup.
“Disebabkan itu kami masih dalam fasa saling mengenali,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Angkasa.
Mengulas soal perancangan masa depan, Kael tidak menolak hasrat untuk bernikah dengan Engku Sulwani. Namun, dia menegaskan keputusannya untuk memeluk Islam bukanlah sesuatu yang dibuat secara terburu-buru.
“Saya memang ada niat untuk berkahwin dengan Engku Sulwani. Tetapi bagi saya, proses itu perlu berlaku dengan betul.
“Takkanlah saya masuk Islam hanya kerana nak kahwin. Saya benar-benar mahu belajar dan faham dahulu tentang Islam.
“Sebelum ini kehidupan saya agak berantakan, jadi saya tak mahu perkahwinan yang akan datang menerima nasib sama,” jelasnya lagi.
Dalam masa sama, Kael melahirkan rasa syukur kerana dikelilingi insan-insan yang banyak membantu perjalanan rohaninya, termasuk rakan-rakan, seorang wanita yang menjadi ibu angkat beragama Islam.
“Alhamdulillah, saya ada ramai yang sudi membimbing saya. Mereka banyak memberi tunjuk ajar dan membuatkan saya lebih tenang untuk mendalami Islam,” tambahnya.
Kael turut berkongsi single Angkasa yang baru dilancarkan membawa simbolik kepada kisah cintanya bersama Engku Sulwani, selain menjadi lambang harapannya untuk membina rumah tangga bahagia suatu hari nanti.
