Jennie BLACKPINK Minta Diberi Sedikit Ruang Ketika Diserbu Peminat Di Paris

Jennie BLACKPINK menyorot perhatian selepas dilihat kelihatan lesu sewaktu dikelilingi orang ramai semasa lawatannya ke Paris, Perancis baru-baru ini.
Akaun Instagram Vendetta Dailly berkongsi satu video pendek menampilkan Jennie dengan kapsyen: “Jennie dirakam bersama peminat di Paris.”
Akaun tersebut, yang mempunyai lebih 580,000 pengikut, dikenali kerana sering berkongsi berita selebriti termasuk momen eksklusif dan video melibatkan figura awam.
Dalam video sama, Jennie dilihat berjalan di jalan-jalan di Paris sambil dikelilingi sekumpulan besar orang. Ada yang bertanya tentang pengalamannya di Paris, manakala yang lain memuji pakaian Chanel yang dipakainya.
Begitupun, beberapa individu dilihat berdiri terlalu rapat di hadapannya sehingga menghalang laluannya dan meninggikan suara untuk menarik perhatian, sekali gus dilihat menceroboh ruang peribadinya.
Pengurus Jennie kemudian meminta kerjasama daripada orang ramai yang berada di situ,
“Jika dia menandatangani autograf, bolehkah anda meninggalkan kami selepas itu?” tanya pengurus Jennie.
Jennie juga dengan sopan meminta sedikit ruang untuk dirinya.
“Boleh saya ada sedikit masa untuk diri saya hari ini?” pintanya.
Selepas itu, Jennie tetap menandatangani autograf untuk peminat, namun kelihatan agak tertekan apabila permintaan terus berterusan. Pada satu ketika, dia meminta orang ramai supaya menepati janji.
Apabila ada individu yang sudah menerima autograf meminta tandatangan sekali lagi, pengurusnya terpaksa campur tangan. Jennie juga menolak secara sopan permintaan untuk mengambil gambar.
Selepas video tersebut tersebar, reaksi peminat global bercampur-campur. Ada yang mengkritik sikapnya dengan mengatakan selebriti sepatutnya menghargai peminat kerana tanpa mereka, artis tidak akan berada di kedudukan sekarang.
Namun, ramai juga yang mempertahankannya dengan mengatakan ruang peribadi Jennie perlu dihormati. Ada yang menegaskan bahawa dia masih meluangkan masa menandatangani autograf walaupun berada dalam keadaan tertekan.
Sesetengah netizen turut berpendapat, individu yang menghalang laluannya untuk mendapatkan tandatangan mungkin bukan peminat sebenar, sebaliknya pihak yang mahu menjual semula autograf tersebut.
Sementara itu, Jennie berlepas ke Paris pada 7 Mac bagi menghadiri pertunjukan Chanel Fall Winter 2026 Ready to Wear Show sebagai duta global jenama Chanel.



