Di sebalik genosid yang berlaku di Gaza, banyak jenama yang tersenarai di bawah kempen BDS (Boycott, Divest, and Sanction) sedang diboikot di seluruh dunia.
Tidak hanya itu, selebriti atau figura popular yang terkait dengan jenama-jenama yang tersenarai di bawah BDS juga turut menerima kecaman dan kritikan daripada netizen.
Sebelum ini, anggota BTS, Jungkook menerima kecaman apabila dia dilihat memegang cawan plastik daripada jenama kopi popular, Starbucks.
Terbaharu, anggota BTS V pula menjadi sorotan gara-gara pengumuman pelantikannya sebagai duta minuman ringan, Coca-Cola seperti yang dilaporkan Koreaboo.
Sungguhpun peminat di Korea menyambut baik kerjasama berkenaan, namun, peminat antarabangsa dilihat memberikan reaksi yang pelbagai.
Hal ini kerana, Coca-Cola termasuk dalam senarai BDS.
Menerusi media sosial, ramai yang ingin ‘mendidik’ V tentang isu ini, namun ada juga yang mengkritik penyanyi itu kerana terlibat dengan jenama yang sedang diboikot.
Apatah lagi selepas tindakannya sebelum ini yang menunjukkan sokongan terhadap Gaza, termasuk memakai gelang yang dilihat menyuarakan solidariti dalam sesi penggambaran jenama minuman tersebut.
Sebahagian netizen cuba mempertahankan V dengan menjelaskan bahawa cawangan Korea tidak mempunyai kaitan terus dengan syarikat induk, malah memetik kenyataan rasmi syarikat bahawa mereka tidak menyokong mana-mana negara secara langsung.
Begitupun memandangkan artis-artis lain turut pernah dikritik kerana mempromosikan Coca-Cola, ramai netizen merasakan V juga patut bertanggungjawab atas perkara ini.