Isu Lirik Ada Unsur Lucah, Haiza Ingatkan Semula Tanggungjawab Penyanyi

Isu Lirik Ada Unsur Lucah, Haiza Ingatkan Semula Tanggungjawab Penyanyi

Penyanyi dangdut, Haiza, 45, berpandangan golongan penggiat seni, khususnya penyanyi, memikul tanggungjawab besar dalam membentuk pemikiran dan nilai masyarakat melalui karya yang dihasilkan.

Pemilik nama sebenar Rohaizah Nordin, berkata penggunaan lirik berunsur lucah tidak wajar dinormalisasikan walaupun atas alasan hiburan atau permintaan pasaran.

Jelasnya, prinsip tersebut sentiasa menjadi pegangan sepanjang pembabitannya dalam industri seni tanah air, meskipun tidak dinafikan wujud tawaran bersifat komersial yang menguji pendirian seseorang artis.

“Saya sebenarnya tidak berniat untuk mencampuri urusan penyanyi lain, namun soalan tersebut diajukan kepada saya.

“Mengikut prinsip saya, jangan biasakan lirik yang mempunyai unsur sedemikian. Sebagai penyanyi, peranan kita sangat besar dalam memberi pengaruh kepada masyarakat,” katanya.

Haiza berkata demikian ketika mengulas mengenai lirik lagu Masuk Lagi nyanyian Baby Shima yang sebelum ini mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen dan pemerhati industri kerana dianggap kurang sensitif.

Dalam pada itu, Haiza turut berkongsi pengalamannya menerima tawaran lagu yang bertentangan dengan prinsip peribadi, namun memilih untuk menolak secara profesional dan beradab.

“Ada juga tawaran yang tidak selari dengan prinsip dan cara penyampaian saya, tetapi kita boleh menolak dengan baik. Sebagai penyanyi, kita ada hak untuk menyatakan sama ada mahu atau tidak.

“Jika memilih untuk menerimanya, itu adalah keputusan masing-masing. Bagi saya, tidak. Jika perlu, kita juga boleh berbincang semula dengan penulis lirik untuk menyesuaikan kandungan lagu,” jelasnya lagi.

Related post

Leave a Reply