
“Industri Seni Tidak Pernah Adil” – Anak Sharifah Zarina
Penyanyi, Athalia, 22, mengakui berdepan tekanan emosi sepanjang menyertai program realiti Talk To My Manager biarpun baru memasuki minggu kedua.
Pemilik nama sebenar Athalia Deena Buswani mengaku dia sedaya upaya cuba memperbaiki persembahan minggu demi minggu, namun masih belum menerima pujian.
“Bukan saya nak merayu simpati atau apa pun. Saya tahu saya tak layak untuk menyanyi atas pentas pertandingan.
“Benda itu pun dah diberitahu oleh ibu saya (Sharifah Zarina) sendiri dalam program siaran langsung.
“Tapi saya cuba untuk memperbaiki kekuatan persembahan saya sekurang-kurangnya dari minggu pertama dan masih tak menerima pujian walaupun sedikit,” katanya menerusi Threads.
Athalia turut mendedahkan tekanan yang dihadapinya memberi kesan kepada kesihatan mental, selain menyifatkan industri hiburan tidak adil kepada bakat baharu.
“Bukan sahaja membuatkan saya mempersoalkan nilai diri saya tetapi juga menyeksa saya secara mental. Industri ini (seni) memang tidak pernah adil,” luahnya.
Terdahulu, persembahan Athalia pada minggu kedua menerusi lagu Langit Ketujuh mendapat pelbagai reaksi, termasuk komen yang mengatakan suaranya belum layak untuk menyertai program nyanyian.