
Ibu Mangsa Tikaman SMK Bandar Utama 4 Luah Rasa Hancur Hati: “Anak Saya Baik, Tapi Temui Nasib Kejam”
Ibu kepada remaja perempuan berusia 16 tahun yang maut dalam tragedi tikaman di SMK Bandar Utama 4 akhirnya bersuara di media sosial, mengesahkan pemergian anaknya sambil meluahkan kesedihan yang amat mendalam.
Dalam satu hantaran menyayat hati di Facebook pagi tadi, ibu mangsa menulis bahawa anak bongsunya telah pergi terlalu awal, sambil berdoa agar rohnya tenang dan bahagia di alam sana.
“Dia seorang anak yang sangat manis dan berdisiplin.
“Mereka yang membaca berita pasti sudah tahu anak bongsu saya telah pergi… dia telah dibunuh,” tulisnya.
Ibu berkenaan turut berkongsi bahawa anaknya dikenali sebagai seorang yang penyayang, baik hati, dan sentiasa berdisiplin.
“Sejak kecil dia tidak pernah menyusahkan kami. Sentiasa ambil berat terhadap ibu bapa dan orang sekeliling. Dia tidak pernah meminta apa-apa daripada kami, dan semua orang yang mengenalinya amat menyayanginya.
“Anak yang begitu baik… tetapi menemui nasib yang begitu kejam,” tulisnya.
Ibu yang berduka itu menggambarkan anaknya sebagai seorang yang lembut, patuh dan berdikari.
“Anak yang sebaik ini, tetapi terpaksa melalui sesuatu yang begitu zalim. Saya tiada kata-kata… hati saya hancur berkecai,” luahnya.
Si ibu menutup hantaran itu dengan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan dan orang ramai atas doa serta kata-kata semangat, sambil meminta agar semua terus mendoakan roh anaknya.
“Ibu akan sentiasa sayang kamu. Sentiasa rindukan kamu,” ucapnya.
Kejadian tragik itu berlaku di SMK Bandar Utama 4, Petaling Jaya, apabila seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun didakwa menikam seniornya hingga maut di kawasan sekolah pada 14 Oktober 2025.
Kes tersebut telah mengejutkan seluruh negara dan mencetuskan perbincangan hangat mengenai isu keselamatan sekolah, kesihatan mental, serta disiplin dalam kalangan remaja.
Pihak polis kini masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif serta latar belakang suspek.