
Ibu Anna Jobling Terima Surat Teguran Daripada Anaknya
Pelakon Anna Jobling menghantar surat teguran kepada ibunya, Ariz Arop berikutan insiden yang terjadi kepada dirinya Isnin lalu.
Hal berkenaan disahkan oleh peguam yang mewakili Ariz, Datuk Akberdin Abdul Kader. Peguam Ariz menerima surat berkenaan pada Selasa.
Kandungan surat tersebut menjelaskan, kejadian yang berlaku antara Anna dan ibunya di sebuah kawasan parkir pada awal pagi Isnin.
“Ya, peguam Anna ada menghantar surat kepada kami. Pihak saya mewakili ibu Anna.
“Kami telah berbincang dengan ibu Anna untuk meneliti isi kandungan surat tersebut sebelum memberi jawapan,” katanya seperti dilaporkan Mstar.
Dalam masa sama, Akberdin memberitahu yang Ariz ada membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
“Ibu Anna yang terkunci dalam kereta itu dan dia sudah buat laporan polis,” ujarnya.
Akberdin turut melabelkan dakwaan Ariz melakukan kekasaran terhadap Anna sebagai satu hal yang berlebihan.
Begitupun, Akberdin tidak menafikan ibu Anna ada menegur anaknya yang dikatakan sebagai salah satu bentuk pengajaran.
“Biasalah teguran ibu kepada anak. Tentang dakwaan ibu sepak Anna itu adalah tidak benar.
“Dia (Ariz) selama ini banyak menegur sebab takut anaknya itu melakukan perkara tidak baik.
“Namun dia juga faham Anna sudah dewasa dan boleh memilih jalan sendiri,” katanya.