Hubungan Dengan Anak Dingin, Ibu Anna Jobling Buat Laporan Polis

Ibu kepada pelakon Anna Jobling, Ariz Arop meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa dirinya telah dikenakan perintah injunksi oleh anak kandungnya sendiri.

Ariz menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu penghinaan terhadap pengorbanannya sebagai ibu dan bersedia menerima apa jua akibat, termasuk kemungkinan dipenjara.

“Panggillah berapa ramai peguam yang awak nak, buatlah berapa banyak injunksi pun. Letaklah gari, saya tak gentar.

“Saya sudah lalui berbagai onak duri dan bergadai nyawa nak besarkan awak.

“Kalau ini balasan yang saya terima, saya reda. Allah SWT ada dan Dia Maha Adil,” luahnya dalam hantaran Instagram.

Dalam hantaran sama, Ariz turut berkongsi gambar tangannya yang bengkak dan kemerahan, dipercayai akibat menumbuk cermin kereta selepas terkunci dari dalam.

“Tangan bengkak sebab tumbuk cermin kereta. Saya jadi panik, tiada pilihan lain. Allah ada, Allah tak tidur,” katanya lagi.

Dia juga turut berkongsi keadaan dirinya yang sedang menangis ketika berada di balai polis.

Tinjauan di media sosial mendapati Anna tidak lagi mengikuti ibunya di Instagram sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa hubungan mereka berada dalam keadaan tegang.

Setakat ini, tiada kenyataan balas dikeluarkan oleh Anna Jobling bagi menjelaskan situasi sebenar antara mereka.

Related post

Leave a Reply