Gempar, Ditangkap Miliki Dadah Ketika Dalam Penjara

Gempar, Ditangkap Miliki Dadah Ketika Dalam Penjara

Pelakon terkenal Indonesia, Ammar Zoni sekali lagi menjadi perhatian apabila dilaporkan terlibat dalam pengedaran dadah jenis syabu dan ganja sintetik, kali ini dari dalam pusat tahanan Penjara Salemba, Jakarta Pusat.

Ammar, yang dikenali ramai menerusi lakonannya dalam drama bersiri popular seperti Cinta Suci dan Anak Langit, kini menghadapi kes berkaitan dadah buat kali keempat. 

Dia kini sedang menjalani hukuman penjara selepas terjerat dalam kes dadah sebelum ini.

Namun yang paling mengejutkan apabila pihak berkuasa mendedahkan bahawa Ammar bukan sekadar menjalani hukuman, malah didapati aktif mengedar dadah dari dalam penjara. 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pendakwa Raya Negeri Jakarta Pusat pada Khamis, pihak pendakwa raya telah menerima barang bukti untuk tindakan lanjut.

Siasatan mendapati bahawa Ammar menerima bekalan dadah daripada individu di luar penjara. Dia kemudian menyerahkan bahan terlarang itu kepada seorang lagi tahanan bernama MR, yang seterusnya menyerahkannya kepada AM. 

Barang tersebut akhirnya diedarkan oleh dua lagi suspek iaitu A dan AP kepada penghuni lain.

Apa yang lebih mengejutkan, semua komunikasi antara mereka dilakukan melalui telefon bimbit dan menerusi satu aplikasi meskipun berada dalam penjara.

Perkongsian rasmi di akaun Instagram @kejari.jakpus turut memuat naik gambar Ammar Zoni bersama beberapa suspek lain yang dikaitkan dengan kegiatan tersebut. 

Pihak keselamatan penjara telah merampas sejumlah bahan bukti dalam kes ini namun meninggalkan tanda tanya bagaimana penyeludupan dadah boleh berlaku di dalam penjara.

Foto: Tribune Lampung

Related post

Leave a Reply