Legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei, 42, dikurniakan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-84 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli Ngah Talib.
Penganugerahan penuh bermakna itu berlangsung sejak tiga hari lalu dan menjadi satu lagi sejarah manis buat anak jati Pulau Pinang itu yang telah lama mengharumkan nama negara di persada dunia.
Chong Wei yang masih kekal sebagai antara figura paling dihormati dalam sejarah sukan negara pernah memegang takhta pemain nombor satu dunia selama 349 minggu, termasuk 199 minggu berturut-turut dari 2008 hingga 2012.
Malah, beliau juga merupakan atlet Malaysia paling berjaya dalam sejarah Sukan Olimpik, dengan pencapaian tiga pingat perak dalam tiga edisi berturut-turut.
Mengulas mengenai pengiktirafan tersebut, Chong Wei meluahkan rasa terharu dan bersyukur atas penghormatan yang diterimanya daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas pengiktirafan yang amat bermakna ini.
“Walaupun saya telah lama bersara dari gelanggang, semangat Malaysia terutamanya Pulau Pinang yang sentiasa saya bawa ke mana sahaja saya pergi,” katanya dalam sebuah hantaran.
Menurutnya lagi, gelaran tersebut bukan hanya miliknya, tetapi juga untuk semua pihak yang sentiasa menyokongnya sejak awal perjalanan karier.
Lebih menyentuh hati, beliau turut menyelitkan ucapan ringkas buat isteri tercinta, Wong Mew Choo, yang menjadi tulang belakang di sebalik kejayaannya selama ini.
“Gelaran ini bukan hanya untuk saya, tetapi untuk semua yang telah menyokong saya sepanjang perjalanan ini,” tambahnya.