Erma Fatima Tutup Rapi Pintu Hati – ‘Tiada Siapa Boleh Gantikan Bade’

Pengarah dan penerbit tersohor, Erma Fatima mengakui soal jodoh bukan lagi keutamaan dalam hidupnya selepas berpisah dengan bekas suami, Bade Azmi pada 2015.

Pemilik nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali berkata, hingga kini dia belum bertemu lelaki yang mampu menyaingi keistimewaan Bade dalam memahami dirinya.

“Jodoh tidak lagi termasuk dalam senarai hidup saya. Tiada sesiapa boleh menggantikan Bade. Tiada lelaki lain yang boleh faham saya sepertinya.

“Oleh itu, buat masa ini, tidak mungkin ada orang yang dapat mengambil tempatnya. Saya hanya mampu berdoa, ‘Ya Allah, ya Tuhan, janganlah Kau duga aku.’ Tapi inilah realitinya,” ujar Erma yang ditemui di sebuah majlis baru-baru ini.

Menurutnya, kesibukan dalam dunia seni juga membuatkan dia tidak sempat memikirkan soal pasangan hidup.

“Hidup saya memang berkisar kepada kerja sahaja. Tidak pernah terlintas pun untuk mencari pasangan. Tambahan pula, saya rasa tiada lelaki yang berani mendekati saya. Mereka anggap saya garang,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Erma mengakui dia ada berkawan dengan beberapa lelaki, namun hubungan itu tidak lebih daripada sekadar teman biasa.

“Pintu hati saya masih tertutup. Belum ada lelaki yang saya rasa benar-benar layak,” katanya jujur.

Imbas kembali, Erma dan Bade atau nama sebenarnya Badaruddin Azmi mendirikan rumah tangga pada tahun 1991 sebelum berpisah pada 2015.

Related post

Leave a Reply