Penyanyi yang terkenal dengan lagu New Rules, Dua Lipa menerima kewarganegaraan Kosovo dalam satu majlis rasmi yang berlangsung pada Khamis lalu.
Penganugerahan tersebut dibuat atas penghargaan dan sumbangan Dua dalam mempromosikan budaya serta imej Kosovo di peringkat global.
Disempurnakan oleh Presiden Vjosa Osmani, pemimpin Kosovo itu menyifatkan Dua sebagai salah satu figura budaya paling ikonik dalam sejarah negara.
“Dari pentas terbesar dunia hingga ke hati jutaan orang, beliau telah membawa kisah Kosovo dengan kekuatan, kebanggaan dan keanggunan,” kata Osmani di akaun media sosial rasminya.
Dua Lipa, 29, dilahirkan di London dalam keluarga berketurunan Albania-Kosovo. Dua pernah menetap di Pristina ketika berusia 11 hingga 15 tahun.
Dua kini memegang tiga kewarganegaraan iaitu United Kingdom, Albania (dianugerahkan pada 2022), dan Kosovo.
“Saya rasa seperti dua sisi dalam diri saya kini bersatu. Ini melengkapkan identiti saya dan sangat bermakna buat saya dan keluarga,” kongsi Dua Lipa dalam kenyataan selepas menerima dokumen rasmi kewarganegaraan.
Turut hadir, Duta Besar United Kingdom ke Kosovo, Jonathan Hargreaves, yang menyifatkan Dua Lipa sebagai “kebanggaan bersama UK dan Kosovo”.
Dua Lipa kini berada di Kosovo untuk mengetuai Festival Sunny Hill selama tiga hari, sebuah acara muzik yang diasaskannya bersama bapanya pada 2018 bagi mengubah persepsi dunia terhadap Kosovo sebagai negara pasca-konflik.