Dituduh Zalimi Haiwan Termasuk Alpaka, Kedai Makan Diserbu Pihak Berkuasa

Dituduh Zalimi Haiwan Termasuk Alpaka, Kedai Makan Diserbu Pihak Berkuasa

Kafe haiwan biasanya menjadi tarikan untuk pelanggan berinteraksi dengan binatang. Namun, jika tidak diurus dengan baik, ia boleh bertukar menjadi risiko yang mengancam kesihatan baik kepada manusia mahupun haiwan itu sendiri.

Sebuah kafe haiwan di Melaka yang pernah tular kerana menempatkan seekor alpaka di premisnya baru-baru ini telah diserbu pihak berkuasa selepas menerima pelbagai aduan bahawa haiwan di situ dijaga dalam keadaan tidak sesuai untuk didiami.

Isu itu mula dibangkitkan menerusi satu hantaran di Threads oleh sebuah kumpulan pencinta haiwan yang mendakwa terdapat beberapa perkara membimbangkan di kafe tersebut.

Menurut hantaran itu, beberapa haiwan termasuk kambing, angsa, kucing, arnab dan alpaka ditempatkan dalam kurungan kecil yang kotor serta dipenuhi najis mereka sendiri.

Selain itu, pengunjung turut mengadu mengenai bau hancing dan najis yang ‘meresap’ ke dinding kafe akibat tahap kebersihan yang lemah.

Ada juga dakwaan bahawa alpaka tersebut dilihat mengunyah alas hijau kerana menyangkanya sebagai rumput sebenar.

Mujurlah pihak berkuasa segera mengambil tindakan dengan melakukan serbuan mengejut ke atas kafe berkenaan.

Datuk Bandar Melaka, Datuk Shadan Othman memaklumkan yang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah mengarahkan kafe tersebut ditutup selama tujuh hari.

Pemilik kafe berkenaan, seorang lelaki warganegara Singapura, turut dikenakan kompaun RM10,250 kerana melanggar Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 2001 serta RM250 kerana melanggar Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MBMB) 2020, lapor Sinar Harian.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital, Datuk Mohd Noor Helmy, yang turut hadir semasa serbuan, menegaskan bahawa penempatan haiwan dalam premis perniagaan makanan adalah dilarang, walaupun dipisahkan dengan dinding atau pintu berasingan.

Beliau menambah bahawa setakat ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) belum memberikan garis panduan jelas berhubung permit serta kesesuaian lokasi untuk menempatkan alpaka tersebut.

Pemilik kafe yang dikenali sebagai Ong itu mengakui kesilapannya kerana mempamerkan alpaka di dalam premis makanan, namun menafikan tuduhan penderaan haiwan.

“Saya faham ada orang marah dan menuduh saya mengabaikan alpaka ini. Tetapi saya benar-benar sayangkannya kerana saya membeli dua ekor alpaka dengan harga RM20,000 seekor. Mana mungkin saya mahu menyakiti mereka?

“Namun, saya tidak akan menyerah dalam perniagaan ini. Saya akur dengan arahan penutupan tujuh hari dan akan segera memindahkan semua haiwan ke tempat yang sesuai serta membersihkan kafe,” katanya.

Related post

Leave a Reply