“Dia Nak Letak Pistol Atas Kepala Saya” – Firdaus Ghufran Dakwa Pernah Dibuli Pelakon Popular

Pelakon, Firdaus Ghufran, 22, mendakwa dirinya pernah menjadi mangsa buli oleh lapan individu termasuk seorang pelakon popular tanah air, ketika menjalani penggambaran sebuah produksi di Sarawak, tahun lalu.

Menurut pemilik nama penuh Muhammad Firdaus Ghani Ghufran, insiden itu memberi kesan kepada emosinya kerana salah seorang daripada individu terlibat merupakan rakan seperjuangannya sejak kecil dalam industri lakonan.

“Punca pergaduhan mungkin disebabkan saya tersalah cakap. Tetapi sebagai seorang yang sudah saling mengenali sejak kecil, saya tidak sangka dia akan bertindak menggunakan kekerasan,” ujarnya.

Firdaus turut mendakwa situasi menjadi lebih tegang apabila pelakon terbabit mula melemparkan ugut bunuh termasuk mengancam keselamatan ahli keluarganya.

“Dia siap cakap nak letak pistol atas kepala saya. Dia juga ugut nak bunuh mak dan adik saya. Ini sangat bahaya dan dikira sebagai jenayah.

“Dia ada pistol ke? Dia fikir diri dia siapa? Adakah kau seorang anggota polis? Kau ada lesen untuk memiliki senjata api?” ujarnya lagi.

Rentetan itu, Firdaus bertindak membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan. Namun sehingga kini, tiada sebarang tindakan susulan diterima daripada pihak berkuasa.

“Saya dah buat laporan polis, tapi setakat ini belum ada apa-apa tindakan lanjut. Saya hanya mahukan keadilan dan keselamatan diri saya serta keluarga terjamin.

“Saya kongsi bukan untuk mengaibkan, tapi untuk beri kesedaran. Tak sepatutnya ada budaya buli atau ugutan dalam dunia seni. Ini bukan perkara kecil.” luahnya.

Related post

Leave a Reply