“Daddy, Jelita Tak Pakai Tudunglah!” – Anak Tegur Beego Muat Naik Video Lama

“Daddy, Jelita Tak Pakai Tudunglah!” – Anak Tegur Beego Muat Naik Video Lama

Anak sulung kepada pelakon Beego, Jelita Clarissa, mencuri perhatian netizen apabila secara terbuka menegur tindakan bapanya yang memuat naik video lama menampakkan dirinya tanpa hijab.

Menurut Jelita yang kini tampil berhijab sepenuhnya, penampilan dalam video tersebut merupakan rakaman lama yang tidak lagi menggambarkan dirinya sekarang.

“Daddy! Jelita tak pakai tudunglah (dalam gambar), kenapa daddy dedahkan sekarang? Itukan video lama,” tulisnya di ruangan komen.

Menjawab teguran itu, Beego atau nama sebenarnya Aszerul Nizam Abdullah, 45, tampil memohon maaf dan menjelaskan video tersebut sebenarnya adalah rakaman baharu, namun Jelita masih dalam fasa awal mengenakan hijab.

“Maaf, ini video baru juga. Jelita baru saja mula bertudung, kan? Semoga terus istiqamah ya. Semoga Allah sentiasa melindungi Jelita. Daddy sayang awak selalu,” tulisnya.

Terdahulu, Beego berkongsi momen manis bersama anak-anaknya menikmati aiskrim menerusi sebuah hantaran video.

Menerusi kapsyen yang ditulis, Beego menafikan dakwaan kononnya anak-anak mereka mengalami trauma susulan konflik rumah tangga yang berlaku.

Sebelum ini, isterinya yang juga aktres, Linda Hashim, memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada awal Januari lalu atas alasan sudah tiada persefahaman.

Linda turut mendakwa tidak kembali ke rumah sejak sembilan bulan lalu kerana bimbang dikasari serta mendakwa anak-anak turut terkesan dan trauma dengan situasi yang berlaku.

Untuk rekod, pasangan ini pernah bercerai talak satu pada 27 Mac 2023, namun kembali rujuk pada 9 April tahun yang sama.

Mereka mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata: Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6.

Related post

Leave a Reply