
Bukan Kucing atau Anjing, Wanita Indonesia Ini Pilih Ketam Sebagai Haiwan Peliharaan
Menerusi laman sosial Instagram, @yaminezka (Yasmine) sering berkongsi reel mengenai teman istimewanya yang luar biasa iaitu seekor ketam bernama James.
Pada mulanya, orang ramai hanya tertarik kerana keunikan memelihara ketam. Namun, lama-kelamaan, mereka terpesona melihat bagaimana Yasmine melayan James seperti ahli keluarga.
James tidak tinggal dalam akuarium. Sebaliknya, dia bebas bergerak ke mana sahaja malah turut menemani Yasmine keluar rumah.
Berbeza dengan kebanyakan ketam yang hanya diletakkan dalam tangki, James dibiarkan berkeliaran di tempat yang membuatnya selesa.
Apabila Yasmine keluar, dia tidak menyimpan James dalam bekas, akuarium atau sangkar khas. Sebaliknya, James hanya menumpang di lengan atau bahu “ibunya”.
Lebih mengejutkan, James tidak pernah cuba melarikan diri. Dia dengan tenang melekat pada Yasmine, kadang-kadang merayap dari perut ke belakang, malah hingga ke bahunya.
Dalam satu reel, Yasmine merakam dirinya tidur di sisi James, yang selesa berbaring rapat di sebelahnya.
Video lain menunjukkan James menikmati ‘hari spa’, di mana Yasmine memandikannya dengan air bercampur garam Himalaya, memberus cengkerangnya dengan berus gigi, dan turut menyapukan minyak supaya kekal berkilat. Sebagai ganjaran, James diberi buah jambu air yang segar.
Malah, Yasmine juga pernah membawa James ke spa sebenar, di mana ‘kulitnya’ diperiksa dan dia menjalani rawatan Japanese water healing.
Hubungan unik Yasmine dan James ini membuatkan orang ramai kagum, terutama melihat betapa tenangnya James, bahkan ketika waktu mandi.