
‘Bersama Atau Tidak, Kami Masih Rapat’
Spekulasi mengenai rumah tangga pasangan selebriti, Nadiyah Shahab dan Ben Ali terus menjadi perhatian sejak kebelakangan ini.
Namun, pelakon dan usahawan berusia 32 tahun itu memilih untuk tidak memperincikan status rumah tangganya, sebaliknya menegaskan mereka tetap bahagia walau dalam apa jua keadaan.
Pemilik nama sebenar Sharifah Nadiyah Syed Fuad Al Shahab berkata, hubungan mereka masih baik sama ada sebagai pasangan suami isteri mahupun sahabat.
“Kami baik-baik saja. Bersama atau tidak, sinergi dan keserasian itu tetap ada. Kami tetap rapat dan tiada masalah untuk bekerjasama. Jangan risau, apa pun status, kami tetap okay,” katanya.
Tambah Nadiyah, hanya masa dapat menentukan jawapan kepada persoalan yang sering dibangkitkan mengenai rumah tangganya.
“Sampai masanya semua akan tahu. Mungkin dalam beberapa tahun lagi dan kalau nampak Ben bersama seseorang, maknanya betullah (sudah berpisah),” ujarnya lagi.
Sementara itu, Ben berkata, dia menyerahkan kepada netizen untuk menilai kedudukan sebenar rumah tangga mereka.
“Persoalan sama ada kami masih suami isteri, terpulang kepada netizen untuk menilai. Cuma saya harap orang mendoakan yang baik-baik. Jangan fikir yang bukan-bukan. Kalau doa yang baik, Insya-Allah yang baik juga akan berlaku,” katanya.
Menurut Ben, gosip perpisahan yang bertebaran tidak menjejaskan hubungan mereka yang sudah lama bersahabat sebelum mendirikan rumah tangga.
“Walaupun kami sibuk dengan urusan kerja luar negara, kami tetap berhubung setiap hari. Absolute sudah jadi tanda dagang kami. Kalau tiada salah seorang, maka tidak lengkap Absolute.
“Kalau pun satu hari nanti kami bersama orang lain, hubungan saya dan Nadiyah akan kekal rapat sampai bila-bila. Orang baru itu pun kena terima yang kami tidak boleh berpisah,” jelasnya.
Untuk rekod, spekulasi mula tercetus apabila pasangan ini dikatakan tidak menyambut Aidilfitri bersama pada Mac lalu, namun kedua-duanya tampil menafikan dakwaan tersebut.
Sekadar info, Ben dan Nadiyah mendirikan rumah tangga pada 10 November 2018 di The Ballroom at East Coast, Singapura.