Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri, 37, bakal menjawab status mengenai pembelian jet peribadi mewah mencecah jutaan ringgit, pada Jumaat ini.
Aliff berkata, isu ini bukan perkara kecil kerana dan membabitkan banyak pihak dan dia mengambil pendekatan untuk berdiam diri sementara waktu demi menjaga sensitiviti serta mengelakkan sebarang salah faham.
“Sebenarnya kalau cakap nanti orang kata saya riak. Kalau beritahu, nanti LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) kejar pula. Jadi saya ambil keputusan untuk umumkan pada hari Jumaat nanti.
“Perkara ini besar sebab melibatkan nilai jutaan ringgit dan ramai orang. Doakan yang baik-baik sahaja. Bila lihat orang ada sesuatu, takut ada penyakit ain, jadi tunggu hari Jumaat sahaja,” katanya.
Menafikan dakwaan kononnya aksi memuat naik gambar dan video bersama jet peribadi hanyalah gimik murahan, Aliff menjelaskan bahawa memiliki aset itu adalah impian lamanya yang kini hampir menjadi kenyataan.
“Jet peribadi ini memang impian saya. Bila video itu tular, saya sendiri terkejut. Niat saya hanya nak berkongsi kisah hidup. Untuk tahu sama ada jet itu benar atau tidak milik saya, tunggu sahaja hari Jumaat.
“Benda ini besar, bukan harga murah. Ini adalah bisnes dan perkara besar. Ramai orang salah tafsir dan cakap saya macam-macam,” kongsinya lagi.
Terdahulu, tular video dan gambar Aliff bersama sebuah jet peribadi sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Ada yang teruja dan tidak kurang juga yang skeptikal.