
Banyak Naskhah Disekat, Erma Fatima Akui Mencabar Jadi Pengkarya Melawan Arus
Pelakon, pengarah dan penerbit terkenal, Erma Fatima, meluahkan rasa kecewa apabila mendedahkan banyak hasil karyanya sebelum ini tidak dibenarkan untuk ditayangkan kepada umum.
Menurut Erma, setiap naskhah yang dihasilkan sarat dengan mesej penting untuk masyarakat, namun hakikatnya sebahagian besar berdepan halangan untuk dipertontonkan.
“Rupanya banyak juga karya saya yang pernah disekat sebelum ini. Memang agak sukar menjadi seorang pengkarya yang melawan arus,” ujarnya menerusi hantaran di Instagram.
Katanya lagi, usaha untuk berkarya dengan jujur kadang-kala membuatkan dirinya berasa seolah-olah tidak bebas menghasilkan cerita mengikut acuan sendiri.
Dalam nada berseloroh, Erma turut berkata mungkin selepas ini dia hanya akan memilih tema klise yang sering menjadi perhatian penonton kerana lebih mudah diterima.
“Lepas ini mungkin saya kena buat cerita tentang penyondol dan cinta terlarang sahaja, itu memang confirm tidak akan disekat,” katanya.
Luahan jujur Erma itu pantas mencuri perhatian peminat yang rata-ratanya tampil memberikan sokongan serta menyuntik semangat agar dia terus berkarya tanpa mengalah.
Erma sememangnya dikenali sebagai pengkarya yang berani menyentuh isu-isu sensitif, realiti kehidupan masyarakat serta karya yang penuh nilai kemanusiaan, menjadikannya antara sutradara wanita paling berpengaruh dalam industri hiburan tanah air.