
Bakal Pengantin Stres, Ibu Desak Ubah Tarikh Kahwin Demi Ibu Saudara
Merancang sebuah majlis perkahwinan bukanlah satu tugas yang mudah. Daripada menempah dewan dan jurusolek sehinggalah mengatur majlis akad nikah, terlalu banyak perkara kecil yang perlu diurus dengan sempurna.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila ahli keluarga mula masuk campur dalam membuat keputusan, sama seperti yang dialami seorang bakal pengantin baru-baru ini.
Memetik satu hantaran di Threads, seorang wanita berkongsi bagaimana dia berasa tertekan dan kecewa selepas ibunya berkeras mahu menukar tarikh perkahwinan hanya kerana beberapa orang makciknya tidak dapat hadir.
“Please, saya perlukan kata-kata semangat. Ibu saya nak tukar tarikh kahwin sebab satu dua orang makcik tak dapat datang sebab anak mereka mula sekolah.
“Bila saya cuba bersuara, dia kata saya kena utamakan keluarga. Ya Allah, rasa nak menangis,” tulisnya.
Wanita itu menjelaskan walaupun dia berusaha mempertahankan tarikh asal, ibunya tetap bertegas bahawa kehadiran semua saudara-mara lebih utama, mengatasi kehendaknya sendiri sebagai pengantin.
“Masalahnya bukan makcik-makcik saya, tapi ibu sendiri. Dia nak ubah sebab nak semua keluarganya hadir. Dia asyik ulang kena utamakan keluarga.
“Tapi bagaimana dengan anaknya sendiri? Bila saya bersuara, saya dituduh pentingkan diri. Sejujurnya, kalau bab melawan ibu, memang tak pernah menang. Kahwin pun masih tiga bulan lagi, tapi kenapa benda sekecil ini jadi isu besar?” luahnya.