
Angeline Tan & Khairul Aming Terima Anugerah Maulidur Rasul
Pelakon Angeline Tan, yang kini bergelar mualaf, dipilih sebagai penerima Anugerah Saudara Baru Cemerlang sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M.
Turut sama diraikan, pempengaruh dan usahawan terkenal Khairul Aming, yang menerima Anugerah Usahawan/Teknokrat Berjaya.
Pengiktirafan berprestij itu disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, sekali gus menjadi detik bermakna buat kedua-dua penerima di pentas penuh bersejarah tersebut.
Bersyukur atas penghormatan yang diberikan, Angeline atau nama Islamnya Ardhini Angeline Tan berkata, anugerah ini menjadi pemangkin semangat untuk dirinya terus kuat melangkah sebagai seorang mualaf dan anak seni.
“Saya sangat bersyukur menerima anugerah ini dan menganggapnya sebagai satu permulaan untuk saya teruskan perjuangan dalam apa jua yang saya lakukan,” katanya.
Sementara itu, Khairul mendedikasikan pengiktirafan tersebut kepada ibunya serta seluruh usahawan tempatan.
“Ketika menerima panggilan dan dimaklumkan mengenai anugerah ini, saya sendiri tidak percaya. Apa pun saya amat bersyukur atas penghargaan yang diberikan.
“Saya tujukan anugerah ini kepada mak saya dan semua usahawan di luar sana. Mak saya selalu berpesan supaya sentiasa jujur dalam perniagaan.
“Berniaga memang tidak mudah, tetapi berniaga juga adalah sunnah Rasulullah. Percayalah, rezeki itu datang daripada Allah,” kongsi Khairul.