Anak Tiri Punca Rumah Tangga Nora Ariffin & Suami Bergolak
Pihak ketiga yang dikaitkan sebagai punca keretakan rumah tangga penyanyi, Datuk Nora Ariffin dan suaminya, Dr. Rusdi, sebenarnya merupakan anak kepada isteri pertama Dr. Rusdi.
Perkara itu didedahkan peguam syarie mewakili Rusdi iaitu Azmi Mohd. Rais, dalam prosiding yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, pada Selasa.
Azmi menjelaskan pihaknya akan mencadangkan kepada hakam islah yang bakal berlangsung pada 21 Oktober depan supaya memanggil individu terbabit untuk memberi penjelasan.
“Pada awalnya kami menyangka pihak berkenaan ialah isteri pertama, tetapi rupa-rupanya anak kepada isteri pertama. Jika ada ruang bermaaf-maafan, insya-Allah plaintif boleh tarik balik kes,” katanya.
Dalam pada itu, Rusdi menegaskan dia masih mahu mempertahankan perkahwinannya dengan Nora serta berusaha mencari jalan perdamaian.
“Sehingga hari ini, Nora masih isteri saya yang sah. Saya akan terus berusaha mempertahankan perkahwinan ini serta mencari solusi terbaik bagi menghilangkan salah faham yang berlaku,” ujarnya.
Prosiding pada Selasa turut menyaksikan pembentangan laporan wakil hakam keluarga, dengan Nora melantik anak sulungnya Mohd. Syakir Iman, 32, manakala Dr. Rusdi melantik anak sulungnya Muhammad Shahkir, 34, sebagai wakil.
Nora memfailkan perceraian pada 21 April lalu susulan konflik rumah tangga selepas tular video lafaz cerai Rusdi terhadapnya.
Bagaimanapun, sebulan kemudian, pasangan itu memaklumkan sudah kembali rujuk.
Untuk rekod, Nora berkahwin dengan Rusdi yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul Universiti Malaya, pada 2021.
Sebelum itu, Nora pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer terkenal, Allahyarham Johan Nawawi, dan dikurniakan empat anak.
Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung.
