Satu notis tuntutan (LOD) telah dihantar oleh Datuk Amy Search kepada penyanyi Shila Amzah susulan kontroversi yang melanda mereka berdua bulan lalu.
Perkara tersebut disahkan oleh peguam yang mewakili Amy, Datuk M Reza Hassan tanpa mendedahkan butiran mengenai perkara berkenaan.
Seperti yang dilaporkan Harian Metro, pihak Shila sudah menerima LOD berkenaan dan meminta waktu untuk tindakan lanjut.
“Kami baru hantar LOD, tapi mereka minta waktu untuk mendapatkan arahan lanjut daripada Shila. Saya tak boleh nak kongsi lagi. Kita tengok macam mana nanti,” katanya.
Perselisihan di antara mereka tercetus apabila Shila membuat laporan polis mendakwa diserang oleh seorang penyanyi legenda dalam sebuah konsert baru-baru ini.
Laporan dibuat pada 10 Julai lalu dan penyanyi lagu Patah Seribu itu turut mengesahkan Amy adalah individu dimaksudkan.
Berdasarkan siasatan awal, punca ketegangan itu disebabkan Amy tidak berpuas hati kerana Shila didakwa mencampuri urusan keluarganya.
Tidak lama kemudian, Amy pula tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 16 Julai lalu.