
ALPHA Cipta Sensasi Raih 22 Juta Strim & Tontonan Digital
Meskipun baru sahaja diasaskan, kumpulan ALPHA nampaknya mencetuskan sensasi apabila lagu ‘P Ramlee Saloma’ nyanyian mereka sudah mencatatkan 22 juta strim dan tontonan digital!
Pastinya apa yang diraih oleh tujuh anak muda yang bergabung tenaga ini merupakan satu petanda positif yang mereka diterima baik disebabkan keunikan yang dibawa.
Dianggotai oleh Rizal Rasid, Araff, Daniel Sher, Ray-D, Izat Ibrahim, Afiq Sky dan Ariel Fesol, ALPHA ditubuhkan menerusi rancangan program realiti Big Stage Alpha.
Selepas kejayaan single sulung mereka ‘Monalisa (Bang Bang)’, kini ALPHA sekali lagi membuktikan kemampuan dengan karya terbaharu mereka.
Dilancarkan pada 18 Julai lalu, lagu ini bukan sahaja menjadi runut bunyi (OST) sebuah drama popular malah telah mengukuhkan lagi kedudukan ALPHA dalam industri muzik tanah air.
Dibawakan dalam bentuk balada moden yang menyentuh jiwa, ‘P Ramlee Saloma’ diinspirasikan daripada kisah cinta abadi dua legenda seni negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarhamah Puan Sri Saloma.
“Saya sangat bangga kerana dalam tempoh singkat sahaja lagu ini berjaya meraih jutaan strim. Sokongan peminat membuktikan muzik kami diterima, dan itu buat saya benar-benar terharu,” kata Rizal Rasid.
Hanya dalam tempoh dua bulan selepas pelancaran pada 18 Julai lalu, ‘P Ramlee Saloma’ telah berjaya mengumpul lebih daripada 22 juta capaian digital yang merangkumi platform Spotify, YouTube, YouTube Music, Apple Music dan tontonan video pendek.
Bagi sebuah kumpulan yang baru sahaja melangkah dengan single kedua, angka ini membuktikan bahawa muzik ALPHA mampu meninggalkan impak besar dan mendapat tempat di hati peminat.
Tambah Araff, kejayaan ini menjadi pembakar semangat dan membuktikan mereka berada pada landasan yang tepat.
“Bila nampak lagu ini trending, semangat saya naik berganda. Saya mahu peminat tahu bahawa kami akan terus berusaha untuk hasilkan karya yang lebih baik, dan saya harap mereka terus bersama kami,” ujarnya.
Bagi menghargai sokongan tanpa henti daripada para peminat, ALPHA kini tampil dengan video muzik (MV) rasmi ‘P Ramlee Saloma’.
Dengan visual penuh romantik dan sinematografi moden, MV ini bukan sahaja menambah makna pada lagu, malah menjadi simbol kasih sayang ALPHA kepada semua penyokong mereka.
“MV ini lahir dari hati kami untuk peminat. Ia menjadi pemangkin untuk kami hasilkan lebih banyak visual yang lebih mantap selepas ini,” jelas Ray-D.
Daniel Sher turut menambah, “paling best bila baca komen-komen yang kata lagu ini menyentuh hati mereka. Itu motivasi sebenar untuk kami terus berkarya,” katanya penuh syukur.
Bagi Izat Ibrahim, kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan luar biasa peminat.
“Terima kasih kepada semua yang menonton, yang strim dan berkongsi lagu ini. Kejayaan ini milik peminat, dan kami janji akan tampil dengan komposisi lebih segar selepas ini,” katanya ringkas.
Hal yang ssma turut diakui oleh Afiq Sky yang menganggap hasil kerja keras mereka berbaloi dan mahu mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
“Bayangkan, baru dua single sahaja kami sudah capai tahap ini. Itu semua kerana sokongan peminat, dan saya yakin ALPHA mampu pergi lebih jauh dengan doa dan sokongan mereka,” katanya.
Sementara itu, Ariel Fesol meluahkan rasa syukur atas perjalanan indah ini.
“Sokongan peminat menjadikan langkah kami lebih bermakna. Jangan berhenti untuk strim dan sebarkan muzik kami, kerana anda semua adalah kekuatan sebenar ALPHA,” jelasnya.