
Aedy Ashraf Syukur Kembali Tercalon Di FFM34 Selepas 18 Tahun
Selepas 18 tahun, pelakon Aedy Ashraf kembali tersenarai sebagai calon dalam Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34), sekali gus menganggap detik itu sebagai mimpi yang menjadi kenyataan dalam perjalanan seninya yang panjang.
Pemilik nama sebenar Mohammad Addy Ashraf Rosmadi berkata, kali terakhir namanya tercalon adalah ketika FFM20, menerusi kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik sewaktu berusia 12 tahun.
“Kali pertama saya dicalonkan ketika berusia 12 tahun dan ketika itu Syafie Naswip yang menang. Itu pengalaman pertama saya dalam anugerah filem paling berprestij di Malaysia.
“Kini, selepas 20 tahun saya kembali ke pentas yang sama, kali ini bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.
“Jujurnya, sekadar dicalonkan pun sudah memberi makna yang sangat besar buat saya. Bukti perjalanan panjang saya dalam dunia seni berbaloi,” katanya.
Dalam pada itu, Aedy turut berbesar hati apabila berada dalam kelompok Top 5 bersama barisan pelakon berpengalaman tanah air yang lain.
“Saya diletakkan sebaris dengan pelakon hebat seperti Eman Manan, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya dan Syazwan Zulkifly. Itu sendiri sudah satu penghormatan besar. Soal menang atau kalah, saya serahkan kepada rezeki dan keputusan juri,” katanya.
Mengulas lanjut, Aedy turut menzahirkan rasa hormat terhadap barisan juri FFM34, yang menurutnya sentiasa menilai karya dengan teliti dan profesional.
“Saya percaya juri FFM terdiri daripada individu berpengalaman yang membuat penilaian secara adil. Siapa pun pemenangnya nanti, kita semua harus raikan kerana setiap calon membawa karya terbaik masing-masing,” ujarnya.
Aedy juga mengesahkan akan hadir ke malam kemuncak FFM34 sebagai tanda sokongan kepada acara berprestij itu.
Untuk edisi kali ini, Aedy tercalon menerusi lakonannya sebagai Beja dalam filem Kahar: Kapla High Council.
Aedy bakal bersaing dengan Shukri Yahaya, Syafiq Kyle, Syazwan Zulkifly (ketiga-tiganya menerusi Blood Brothers: Bara Naga) dan Eman Manan (Takluk: Lahad Datu).
FFM 34 akan disiarkan secara langsung dari Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri, pada 1 November depan menerusi saluran TV2.
Datuk Afdlin Shauki dan Che Puan Sarimah Ibrahim akan menggalas tugas sebagai hos utama anugerah.