YouTuber Ditahan Lepas Senyum, Buat Simbol ‘Peace’ Depan Tragedi Kebakaran Hung Fuk Court
Seorang YouTuber kelahiran China telah ditangkap di Hong Kong selepas dia dengan sengaja bergambar, merakam video, tersenyum sambil membuat tanda peace di hadapan tragedi kebakaran maut di Hung Fuk Court yang mengorbankan 159 nyawa.
Tindakannya, termasuk memuat naik komen penuh kebencian yang mengejek mangsa, mencetuskan kemarahan orang ramai dan akhirnya membawa kepada penahanannya di bawah undang-undang keselamatan negara Hong Kong.
Dia juga difahamkan memuat naik rakaman itu ke media sosial, bersama kenyataan provokatif yang mendakwa mangsa adalah berdosa, tragedi itu balasan dan bahawa tidak perlu bersimpati dengan yang mati atau cedera.
Menurut ST Headline, Jabatan Keselamatan Negara Polis Hong Kong menahan lelaki itu pada 3 Disember atas dakwaan bertindak dengan niat hasutan.
Kesalahan itu dianggap serius di bawah undang-undang keselamatan Hong Kong dan jika disabitkan kesalahan, boleh membawa hukuman maksimum sehingga tujuh tahun penjara.

Polis berkata suspek bukan sahaja bergambar di lokasi bencana, malah memuat naik kandungan yang menghasut kebencian, mencetuskan perpecahan sosial dan menimbulkan rasa jijik orang ramai.
Dilaporkan, dia juga mengaku sebagai ahli White Card Alliance, kumpulan personaliti internet kontroversi yang terkenal merakam aksi ekstrem atau haram untuk perhatian, termasuk menghantar surat ugutan, merosakkan kubur mendiang penyanyi Wong Ka Kui serta menyerang pegawai polis atau wartawan.
Saluran YouTube miliknya masih boleh diakses setakat ini, tetapi akaun Instagramnya didapati telah dipadam.
Kebakaran di Hung Fuk Court memusnahkan tujuh bangunan dan menukar kawasan itu menjadi lautan api.
