Pelanggan Tampal QR Palsu Untuk Curi Duit, Penjaja Mi Wan Tan di Muar Rugi RM83

Pelanggan Tampal QR Palsu Untuk Curi Duit, Penjaja Mi Wan Tan di Muar Rugi RM83

Seorang penjaja mi wan tan di Muar, Johor, memberi amaran kepada peniaga lain supaya lebih berwaspada apabila memaparkan kod QR untuk pembayaran pelanggan.

Peniaga tersebut mendakwa yang dia kerugian sehingga RM83 apabila seorang pelanggan tidak jujur bertindak menutup kod QR gerainya dengan kod QR berbeza, sehingga wang bayaran disalurkan ke akaun pelanggan itu.

Berdasarkan rakaman CCTV, pelanggan itu dilihat menampal kod QR miliknya di atas kod QR gerai berkenaan dalam keadaan gelap selepas memastikan tiada sesiapa berada di lokasi.

Menurut tanda masa, kejadian berlaku sekitar pukul 11.10 malam pada Jumaat lalu (14 November 2025).

Bercakap kepada Sin Chew Daily, pemilik gerai, Chen Ruiheng berkata, pelanggan tersebut merupakan pelanggan tetap dan pernah makan di gerainya beberapa kali.

Chen menambah, perbuatan itu terbongkar pada pukul 10 pagi keesokan harinya apabila teman wanitanya menyedari sesuatu yang pelik tentang kod QR yang ditampal pada peti sejuk untuk pembayaran.

Dia kemudian menghubungi pemilik premis untuk menyemak rakaman CCTV dan berjaya menjejaki pelanggan tersebut selepas mengenal pasti nombor plat motosikalnya.

Ketika disoal, pelanggan itu mengakui perbuatannya tetapi mendakwa dia hanya meminjam RM83 dan berjanji akan memulangkannya dalam beberapa hari.

Chen menunjukkan kod QR yang ditampal oleh pelanggan.

“Selepas saya mendapatkan semula RM83 daripada pelanggan itu, saya memuat naik rakaman CCTV ke media sosial sebagai peringatan kepada peniaga lain.

“Walaupun saya telah menutup nombor plat motosikalnya, dia menghubungi saya dan meminta supaya video itu dipadam,” kata Chen.

Tambah Chen, pada mulanya dia tidak mahu memanjangkan perkara tersebut, namun berubah fikiran dan membuat laporan polis selepas menerima panggilan daripada pelanggan itu.

“Gerai saya menerima bayaran tunai tetapi kami juga memaparkan dua kod QR untuk pelanggan. Saya biasanya tidak memeriksa sama ada pelanggan benar-benar membuat pembayaran kerana saya percaya pada mereka.

“Jika teman wanita saya tidak menyedari sesuatu yang pelik pada kod QR itu, kami mungkin menyangka perniagaan sedang merosot,” katanya lagi.

Chen berkata dia kini menanggalkan kod QR ketika mahu menutup gerai dan hanya meletakkannya semula pada keesokan pagi.

Dia turut mengingatkan para peniaga supaya sentiasa berwaspada supaya tidak membuang masa dan tenaga untuk mendapatkan semula wang yang hilang.

Related post

Leave a Reply