
Potong Rambut Wanita Secara Diam-Diam Untuk Puaskan Nafsu, Lelaki Singapura Dihukum Penjara
Bila bercakap tentang fetisy (fetish), lelaki di Singapura ini memang luar biasa. Menurut laporan media Singapura, dia didapati secara diam-diam memotong sebahagian rambut seorang wanita bagi memuaskan nafsu seksualnya ketika menaiki bas.
Menurut laporan The Straits Times, Edwin Chow Rui Xiong, 26, menaiki bas di Dover pada 3 Ogos apabila dia ternampak seorang wanita berambut panjang dengan gaya ponytail masuk ke dalam bas.
Selepas berasa ghairah melihat rambut panjang wanita itu, dia menukar tempat duduk ke bahagian belakang wanita tersebut sebelum memotong ponytail itu dengan gunting, lalu menyimpannya dalam beg plastik kecil untuk dihidu kemudian.
Wanita itu hanya menyedari rambutnya hilang apabila dia menyentuhnya. Apabila dia menoleh ke belakang dan menegur Chow, lelaki itu berdiam diri.
Pemandu bas kemudian dimaklumkan tentang kejadian itu sebelum polis dipanggil ke lokasi kejadian.
Selepas ditangkap pada hari sama, Chow mengaku dia tertarik kepada wanita berambut panjang dan memenuhi nafsunya dengan memotong rambut mereka untuk dihidu.
Dia mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan dan memiliki peralatan memotong pada 11 September.
Dua lagi pertuduhan iaitu dakwaan memotong rambut dua mangsa lain di dua bas berasingan pada 2 Ogos turut diambil kira.
Ketika rayuan mitigasi, Chow ditanya sama jika dia mempunyai sebarang penjelasan. Namun, dia menjawab: “Tiada apa-apa,” sambil tersenyum.
Apabila hakim bertanya sekali lagi, Chow merayu hukuman ringan dengan alasan dia mempunyai janji temu di Institut Kesihatan Mental (IMH) minggu berikutnya. Akhirnya, dia dijatuhi hukuman penjara dua bulan dua minggu.
Rekod mahkamah menunjukkan ini bukanlah kesalahan pertamanya, kerana dia pernah dikenakan 21 bulan percubaan pada 2020 atas kesalahan mencuri dan menyerang.