
Eda Ezrin Trauma Ke Thailand Selepas Jalani 9 Bulan Penjara
Penyanyi, Eda Ezrin, 30, mengakui dirinya masih belum mampu melupakan episod hitam yang menghantui hidupnya apabila pernah ditahan selama sembilan bulan di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat, Thailand.
Menurut pemilik nama sebenar Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, biarpun kini sudah kembali ke pangkuan keluarga, kesan trauma akibat kejadian tersebut masih menyelubungi dirinya hingga hari ini.
“Orang mungkin nampak saya sudah bebas dan kembali ke pentas, tapi dalam diri saya, luka itu belum sembuh sepenuhnya.
“Saya ke Thailand dulu pun atas urusan kerja, bukan suka-suka nak melancong,” jelas ibu dua cahaya mata ini.
Mengulas soal kemungkinan kembali ke negara jiran tersebut, penyanyi yang pernah mencuri perhatian ramai di media sosial itu dengan tegas menyatakan pendiriannya.
“Kalau tanya sama ada saya sanggup ke sana lagi, jawapannya memang tidak. Saya tak sanggup ulang balik trauma itu,” katanya.
Tambah Eda, apa yang dilaluinya juga membuka mata tentang siapa kawan sejati dalam hidup. Katanya, ketika berada dalam keadaan paling sukar, barulah terserlah siapa benar-benar peduli.
“Masa dalam penjara, saya sedar, bukan semua yang kita anggap kawan akan muncul waktu susah. Tiada siapa datang lawat. Dari situ saya belajar, biar kawan tak ramai, asalkan berkualiti,” luahnya.
Lebih mengejutkan, Eda mendakwa punca kepada segala yang berlaku juga ada kaitan dengan “kawan atas kawan”.
“Kalau nak ikutkan, saya tak sepatutnya pun terlibat dalam hal itu. Tapi kerana percayakan orang, saya terheret sama.
“Saya anggap ini ujian Allah, mungkin untuk saya lebih berhati-hati selepas ini,” ungkap Eda.
Terdahulu, media melaporkan Eda bersama suaminya dan empat lagi individu dibebaskan oleh pihak berkuasa Thailand pada 6 Ogos lalu selepas lebih sembilan bulan ditahan.
Mahkamah membuat keputusan membebaskan mereka berikutan kegagalan pendakwa raya mengemukakan bukti dan saksi dalam kes berkenaan.