Marsha Gembira Hening Rindu Rangkul Pingat Emas di Taipei

Marsha Gembira Hening Rindu Rangkul Pingat Emas di Taipei

Penyanyi Marsha Milan, mencatatkan kemenangan manis apabila lagu Hening Rindu nyanyiannya merangkul pingat emas dalam kategori reka bentuk bunyi terbaik yang dicipta di Asia untuk program atau siri televisyen (TV) Asia pada Anugerah ContentAsia 2025 di Taipei, pada Khamis.

Menurut wanita tersebut, kemenangan itu hasil kejayaan berpasukan buat semua pihak yang terbabit dalam memastikan mutu berada pada tahap tertinggi.

“Sebenarnya, saya terdiam sebaik dapat tahu. Menitis air mata sebab saya tidak sangka akan menang. Kemenangan ini ditujukan kepada individu sebenar di sebalik penghasilan Hening Rindu.

“Ini adalah anugerah reka bentuk bunyi terbaik. Jadi, sudah tentu saya ingin ucap tahniah dan terima kasih kepada rakaman studio, penerbit serta komposer, Wan Salleh dan Ikhwan Fattana.

“Tidak ketinggalan semua orang yang terbabit dalam lagu ini. Apa yang dicapai adalah melalui usaha berpasukan. Tanpa semua orang, saya rasa lagu ini tidak akan menjadi Hening Rindu yang kita dengar sekarang,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Dalam anugerah berkenaan, Hening Rindu menewaskan Bad Guys, Furever Yours, Karuvanam, Lamput Musim 4 – Boss On The Moon dan juga Shape of Love.

Anugerah ContentAsia adalah sebuah acara tahunan mengiktiraf kandungan video premium dan pencapaian bakat merentasi pelbagai platform di rantau Asia.

Dalam edisi kali ini membabitkan lebih 150 program yang dicalonkan, sekali gus menonjolkan persaingan sengit dalam industri kandungan kreatif serantau.

Related post

Leave a Reply