Zed Zaidi Mahu Tindakan Tegas Terhadap Pempengaruh
KEMELUT yang melanda antara Ellie Suriaty Omar dan pempengaruh Imran Bard mendapat perhatian Presiden Seniman, Kolenal Bersekutu (PA) Rozaidi Abdul Jamil yang menegaskan kekeruhan ini perlu segera dinoktahkan dan diambil serius oleh semua pihak.
Jelasnya isu buli dalam kalangan ahli Seniman dan golongan artis bukanlah sayu perkara yang boleh dipandang remeh dan perlu dijadikan pengajaran oleh semua pihak terutamanya kepada mereka yang mencipta kandungan.
“Sebagai salah seorang ahli Seniman, kami berdiri teguh di belakang Ellie Suriaty yang menjadi mangsa buli pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Kami juga memohon pihak berkuasa termasuklah Suruhanjaya Komuninkasi & Multimedia Malaysia (MCMC) serta pihak polis untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak tersebut atas kesalahan yang dilakukan,” tegasnya yang lebih mesra disapa dengan panggilan Zed Zaidi.
Beliau juga meminta agar semua pihak terutamanya pencipta kandungan agar lebih peka dan tidak menghasilkan kandungan yang jelik sehingga menjatuhkan air muka seseorang.
Terdahulu isu di antara Ellie dan Imran hangat diperkatakan sejak seminggu yang lalu apabila pelakon wanita berkenaan mahu mengambil tindakan apabila namanya digunakan pempengaruh berkenaan dalam satu kandungan video yang dimuat naik.
Ellie bertegas mahu menyaman Imran namun mereka sudah mencapai kata sepakat untuk bertemu empat mata sedikit masa lagi untuk menyelesaikan isu ini.
“Kita minta semua pihak terutama golongan pempengaruh untuk tidak sewenang-wenangnya mempergunakan nama atau mana-mana individu yang boleh menjatuhkan maruah mereka.
“Jangan sesekali mencari populariti dengan kandungan yang tidak sihat, bersifat negatif dan memberikan impak kurang baik kepada masyarakat,” tegasnya lagi.