Ujian Rumah Tangga & Kerjaya Bola Sepak, Faisal Halim Tekad Bangkit Pada 2026

Ujian Rumah Tangga & Kerjaya Bola Sepak, Faisal Halim Tekad Bangkit Pada 2026

Pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim mengakui tahun 2025 menjadi fasa paling mencabar dalam perjalanan hidupnya, namun percaya setiap ujian yang dilalui hadir sebagai proses untuk membentuk dirinya menjadi lebih kuat.

Menurut Faisal, segala dugaan yang ditempuhi sepanjang tahun lalu memberi ruang untuk dia bangkit dengan lebih positif pada masa hadapan.

“2025 adalah tahun yang sangat mencabar, tetapi semua ini menjadi persediaan untuk saya menjadi lebih kuat pada tahun 2026. Insya-Allah, 2026 akan menjadi tahun yang lebih baik,” katanya dalam sebuah hantaran.

Tambah pemain kebangsaan itu, dia turut berazam membina kehidupan yang lebih bermakna bersama isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril.

Dalam masa sama, Faisal menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan dirinya serta keluarga.

“Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan yang terbaik untuk saya. Apa yang berlaku sepanjang 2025 ini adalah ujian buat kami sekeluarga.

“Kita mulakan 2026 dengan lebih baik untuk diri kita dan keluarga. I love you, sayang,” luahnya lagi.

Terdahulu, Faisal dan Nur Syazwani disahkan bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor pada 28 November lalu, selepas mahkamah mengesahkan wujud dua lafaz cerai masing-masing pada 11 Jun dan 10 November.

Bagaimanapun, pasangan itu memilih untuk rujuk semula pada 9 Disember lalu demi keharmonian keluarga.

Untuk rekod, Faisal mendirikan rumah tangga bersama Nur Syazwani pada 9 Mac 2019 dan hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Khalish Aryan.

Related post

Leave a Reply