Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendesak agar bekas Naib Presiden Kamala Harris serta selebriti ternama seperti Beyonce, Oprah Winfrey dan Al Sharpton didakwa kononnya atas bayaran tidak sah yang diterima sepanjang kempen pilihan raya presiden 2024.
Trump mendakwa, Harris membayar jutaan dolar kepada selebriti terbabit sebagai pertukaran kepada sokongan terbuka terhadap kempen beliau – sesuatu yang menurut Trump adalah melanggar undang-undang pilihan raya.
“Saya sedang meneliti jumlah wang yang begitu besar dibelanjakan oleh Demokrat selepas pilihan raya presiden. Bayaran ini direkod secara tidak tepat dalam laporan kewangan.
“Anda tidak dibenarkan membayar untuk sokongan. Ia adalah tidak sah,” tulis Trump menerusi platform Truth Social pada hujung minggu lalu.
Dalam kenyataan sama, Trump turut menyebut: “Bayangkan jika ahli politik mula membayar orang untuk menyokong mereka, pasti akan timbul huru-hara.”
Sepanjang musim kempen 2024, kem Harris pernah menerima kritikan berikutan bayaran sebanyak AS$165,000 (RM696,547) kepada syarikat produksi Beyonce, Parkwood Entertainment, untuk sebuah acara di Houston pada 26 Oktober.
Sementara itu, Harpo Productions milik Oprah didakwa menerima AS$1 juta (RM4.2 juta) bagi acara siaran langsung di Michigan, manakala organisasi National Action Network milik Sharpton menerima AS$500,000 (RM2.1 juta).
Bagaimanapun, angka dikemukakan Trump dalam kenyataannya berbeza:
“AS$11 juta (RM46.4 juta) dolar kepada Beyonce untuk sokongan (dia langsung tidak menyanyi dan meninggalkan pentas dengan penonton yang marah), AS$3 juta (RM12.6 jut) kepada Oprah, AS$600,000 (RM2.5 juta) kepada Al Sharpton – dan semua ini perlu disiasat!”
Harris sebelum ini menafikan sebarang bayaran dibuat untuk mendapatkan sokongan selebriti. Ibu kepada Beyoncé juga tampil menolak dakwaan bahawa anaknya menerima sehingga AS$11 juta untuk berucap di acara Harris.
Oprah pula menjelaskan, beliau tidak dibayar untuk penglibatannya, sebaliknya hanya kos produksi acara ditanggung pihak kempen.
Kempen Harris telah mengumpul dana besar, mencecah AS$1.15 bilion (RM4.8 bilion) secara langsung serta AS$843 juta (RM3.5 bilion) melalui sumbangan luar.
Sebaliknya, kempen Trump dilaporkan memperoleh AS$464 juta (RM1.9 bilion) dan AS$989 juta (RM4.1 bilion) melalui saluran luar. – Agensi