
Tanggung Kanser Usus Tahap Empat, Charlie Nu’man Kini Tenat
Pelakon veteran, Charlie Nu’man Salleh, 71, kini dilaporkan berada dalam keadaan amat lemah dan tidak bermaya selepas disahkan menghidap kanser usus tahap empat, baru-baru ini.
Menurut adiknya, Yusri Salleh, Charlie kini dirawat di rumah anak perempuannya selepas dibenarkan keluar hospital pada Khamis lalu.
Bagaimanapun, keadaan kesihatannya semakin merosot apabila tidak lagi mampu bercakap dan hanya terlantar di katil.
“Keadaan abang masih tidak berubah. Doktor sahkan dia menghidap kanser usus tahap empat minggu lalu. Sekarang dia hanya terbaring dan tidak boleh bercakap,” ujar Yusri.
Yusri menjelaskan keluarga mereka hanya mengetahui mengenai penyakit tersebut selepas doktor mengesahkannya dan memberi dua pilihan, sama ada mengekalkan rawatan di hospital atau membawa pulang ke rumah.
“Doktor maklumkan keadaan abang sudah terlalu lemah. Jika terus dirawat di wad pun, hanya alat oksigen akan disediakan tanpa bantuan kecemasan (CPR). Oleh itu, kami sekeluarga sepakat membawa dia pulang supaya dapat bersama keluarga.
“Kami bawa dia ke hospital semula kerana risau dia langsung tak makan. Namun doktor beritahu, pada tahap ini ususnya sudah terlalu teruk dan dia memang tak boleh makan. Sekarang kami hanya dapat titiskan air di mulutnya,” katanya.
Tambah Yusri, apa yang paling mengejutkan adalah perubahan mendadak keadaan abangnya yang sebelum ini masih aktif seperti biasa.
“Dua minggu lepas dia masih boleh naik tangga ke rumahnya di tingkat empat. Tak sangka secepat ini keadaannya berubah,” ujarnya seperti dilapor Berita Harian.
Sebelum ini, Yusri turut berkongsi keadaan abangnya menerusi hantaran di Facebook yang menunjukkan Charlie menggunakan alat bantuan pernafasan.
Untuk rekod, pada April lalu, pelakon yang popular menerusi drama dan filem era 1980-an itu turut ditimpa musibah apabila rumah sewanya di Gombak Setia musnah dalam kebakaran pada hari kedua Aidilfitri.
Charlie merupakan pelakon watak sampingan dan pelakon pembantu yang aktif dalam industri seni tanah air sejak era 1980-an. Dia sering muncul dalam pelbagai drama dan telefilem tempatan, terutamanya di bawah terbitan RTM dan TV3.
Antara watak yang sering dibawanya ialah watak bapa, jiran atau watak komedi ringan yang dekat dengan penonton. Charlie juga pernah muncul dalam beberapa filem tempatan, antaranya Lenjan (2003) dan Kongsi (2011).